Super Ronin: Si tikus adiwira penyelamat dunia

Super Ronin: Si tikus adiwira penyelamat dunia

RONIN sedang mengesan periuk api di kawasan berbahaya di Preah Vihear, Kemboja. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIKUS mungkin bukan haiwan paling popular di dunia, tetapi Ronin berjaya mengubah persepsi itu dengan keupayaannya ‘menghidu’ bahaya periuk api dan menyelamatkan banyak nyawa.

Ronin, seekor tikus spesies African giant pouched, kini menjadi bintang dalam pasukan haiwan pengesan bom yang sedang melindungi orang awam daripada ancaman tersembunyi di bawah tanah.

Baru-baru ini, Ronin mencatat rekod dunia sebagai tikus yang paling banyak mengesan periuk api, menurut Guinness World Records.

Antara Ogos 2021 hingga Februari 2025, Ronin berjaya mengesan 109 periuk api dan 15 bahan letupan lain yang belum meletup di kawasan berhampiran Siem Reap di Kemboja.

“Kehebatan Ronin membuktikan betapa luar biasanya potensi tikus,” kata penjaga utamanya, Phanny.

Di Kemboja, lebih 65,000 orang telah menjadi mangsa letupan periuk api sejak kejatuhan rejim Khmer Rouge pada 1979.

Periuk api masih menjadi ancaman berdekad-dekad selepas perang tamat kerana sukar dan berbahaya untuk dikesan, menyulitkan pembangunan tanah serta mengancam nyawa tanpa mengira siapa.

“Nasib baiklah ada tikus-tikus seperti Ronin. Tikus ini bukan calang-calang. Mereka pintar, laju dan yang paling penting, mempunyai deria bau yang tajam.

“Hidung haiwan ini sangat sensitif terhadap bau bahan letupan. Oleh sebab tubuhnya yang ringan, mereka juga tidak akan memicu letupan periuk api ketika sedang mengesannya,” jelas Phanny.

Menurut organisasi bukan keuntungan dari Belgium, APOPO, masih ada kira-kira 110 juta periuk api tertanam di lebih 60 negara dan pada tahun 2023 sahaja, 5,757 orang menjadi mangsa dengan 37 peratus daripadanya adalah kanak-kanak.

Ronin ialah satu daripada 104 ekor tikus yang dilatih oleh APOPO dalam pasukan dipanggil HeroRATS untuk menghidu bahan kimia letupan dan memberi isyarat kepada penjaga mereka.

Tikus-tikus ini juga sangat serba boleh dan turut dilatih untuk mengesan jangkitan tuberkulosis dalam keadaan perubatan, membantu mencegah penyebaran penyakit berjangkit.

Malah haiwan-haiwan ini juga sangat efisyen berbanding pasukan manusia.

Seekor tikus boleh memeriksa kawasan sebesar gelanggang tenis dalam hanya 30 minit, sesuatu yang mungkin mengambil masa sehingga empat hari untuk dilakukan seorang pegawai manusia menggunakan alat pengesan logam.

Ronin yang dilahirkan di Tanzania, kini berusia lima tahun dengan panjang lebih 60.9 sentimeter dan berat 1.2 kilogram, menghampiri saiz seekor kucing.

Sang adiwira kecil ini ditempatkan di wilayah Preah Vihear, antara kawasan paling padat dengan periuk api di dunia, kesan daripada konflik berpanjangan termasuk pengeboman besar-besaran oleh Amerika Syarikat (AS) semasa Perang Vietnam.

Jelas Phanny, kebolehan luar biasa Ronin dalam mengesan periuk api bukan datang secara tiba-tiba tetapi semuanya hasil latihan rapi yang berasaskan ganjaran positif sejak dari awal usianya.

“Sejak kecil lagi, Ronin sudah didedahkan dengan clicker training, sejenis latihan di mana setiap kali dia mendengar bunyi klik, dia tahu ganjaran sedap seperti pisang atau kacang tanah akan menanti.

“Teknik ini menjadikan Ronin lebih bersemangat dan fokus untuk mengenal pasti bau bahan letupan dengan tepat. Bila menghidu bahan letupan, Ronin akan mencakar tanah sebagai isyarat kepada saya, gaya yang sudah menjadi kegemarannya,” katanya.

Sebelum kemunculan Ronin, rekod haiwan pengesan dipegang oleh Magawa, tikus lagenda yang berjaya mengesan 71 periuk api dan 38 bahan letupan lain.

Selepas lima tahun perkhidmatannya bersama APOPO, Magawa mati pada Januari 2022.

“Dengan pencapaian hebat Ronin, mungkin tiba masanya kita memandang tikus dengan perspektif baharu sebagai wira kecil yang menyelamatkan dunia,” tambah Phanny. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×