KUALA LUMPUR: Jenama automotif dari China, Jetour menyasarkan untuk mencapai lebih daripada 40 peratus kandungan tempatan dalam usaha untuk memperkukuhkan kehadirannya di negara ini, yang disifatkan sebagai satu daripada pasaran penting di Asia Tenggara.
Naib Presiden Jetour Auto, Ke Chuandeng berkata, pihaknya komited untuk membina jenama di Malaysia bersama pengguna dan rakan niaga, dengan pelaburan sejumlah RM560 juta dalam pembuatan, RM216 juta bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta RM65 juta bagi pembinaan rangkaian, yang secara keseluruhan akan mencipta lebih 3,200 peluang pekerjaan di sini.
“Kami memiliki strategi eksport dibuat di Malaysia yang menyasarkan pasaran ASEAN, Oceania dan Asia Barat.
“Pusat R&D di sini akan memfokuskan kepada pembangunan model yang menepati tabiat pemanduan pengguna di sini, selain model hibrid serta kenderaan elektrik yang bersesuaian dengan cuaca tempatan,” katanya pada majlis pelancaran model terbaharunya, Dashing di sini, semalam.
Model kenderaan utiliti sukan (SUV) itu, diikuasakan oleh enjin turbo 1.5 liter yang menghasilkan kuasa maksimum 156ps (115 kilowatt) kuasa kuda dan 230Nm tork didatangkan dengan ciri-ciri teknologi canggih serta rekaan yang tersendiri.
Ia ditawarkan pada harga bermula RM109,800 untuk varian Comfort dan RM116,800 untuk varian Prime, kedua-duanya bersama pakej lima kali servis percuma bersama alat ganti dan buruh, waranti kenderaan selama tujuh tahun atau 150,000 kilometer (km) jarak perjalanan, serta waranti enjin 10 tahun atau sejuta km jarak perjalanan.
Sebanyak 500 pembeli terawal disediakan rebat tunai bernilai RM2,000.
Ke berkata, model Dashing telah mendapat sambutan baik di pasaran antarabangsa, dengan merekodkan jualan global lebih 200,000 unit.
Jelasnya, ia juga telah menerajui jualan dalam segmen SUV di beberapa negara termasuk Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Arab Saudi dan Iraq.
“Tahun 2025 menandakan ulang tahun ketujuh Jetour, satu pencapaian penting dalam usaha perluasan global kami, yang mana kami kini beroperasi di 65 negara dengan lebih daripada 2,000 rangkaian jualan dan servis serta jumlah jualan global melebihi 1.6 juta unit.
“Malaysia ialah pasaran utama dengan potensi pertumbuhan besar dalam strategi pembangunan global kami dan Jetour komited untuk menjadi peneraju global dalam segmen SUV dengan menggabungkan teknologi terkini serta reka bentuk yang selari dengan pelbagai budaya dan gaya hidup di seluruh dunia,” katanya.
Bagi menyokong pelancaran Dashing, Jetour telah melaksanakan pengembangan rangkaian agresif dengan menubuhkan lebih daripada 15 pusat jualan dan servis di seluruh Malaysia dan sejumlah 30 pusat 4S dan 3S yang akan dijadualkan untuk dibuka tahun ini.-UTUSAN










