Bantuan mangsa letupan paip gas dinaikkan

Bantuan mangsa letupan paip gas dinaikkan

Amirudin Shari dalam sidang akhbar perkembangan susulan kebakaran paip gas dekat Jalan Putra Harmoni, Putra Heights di Wisma Dewan Negeri, Shah Alam. semalam. -UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bantuan kepada 613 keluarga mangsa letupan paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights dinaikkan sebanyak RM2,500 dan RM5,000 menjadi RM5,000 dan RM10,000 selepas menerima tambahan dana daripada Petronas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bantuan tersebut diserahkan mulai hari ini kepada 219 penerima pertama selepas proses pengesahan maklumat dilakukan apabila pendaftaran mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ditutup pada pukul 6 petang

“Sumbangan itu akan disela­raskan oleh kerajaan negeri dan diserahkan bermula semalam. Sumbangan bagi rumah yang rosak keseluruhan akan menerima RM5,000 daripada Petronas dan RM5,000 lagi daripada Kerajaan Persekutuan, maknanya keseluruhan diterima sebanyak RM10,000.

“Rumah yang terkesan dan penyewa akan menerima RM2,500 daripada Petronas dan RM2,500 lagi daripada Kerajaan Persekutuan, justeru mereka akan mendapat RM5,000 keseluruhan,” katanya kepada pemberita, semalam.

Tambahnya, penyerahan bantuan akan diselesaikan sehingga Jumaat ini selepas pengesahan laporan kehadiran mereka ke PPS dilakukan oleh Jawatankuasa Peng­urusan Bencana Daerah (PBD).

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan segera kepada mangsa kebakaran paip gas di sana sebanyak RM2,500 dan RM5,000.

Bantuan diberikan kepada mangsa yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran rumah dan mangsa yang terjejas.

Sementara itu, kata Amirudin, kerja-kerja penstabilan tanah di kawasan ground zero dilakukan bermula petang semalam sebelum kajian teknikal dilaksanakan bermula 15 April bagi menyiasat dan mengenal pasti punca sebenar kebakaran.

“Itu (pematuhan kerja korek tanah mematuhi prosedur) biarlah badan penyiasatan yang lakukan (siasat). Sekarang polis sudah semakin jelas dalam laporan semalam untuk melihat faktor-faktor lain termasuklah kesan-kesan sekeliling dan sebagainya,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN