10 beranak ‘bermalam’ di Masjid Nabawi untuk solat raya

10 beranak ‘bermalam’ di Masjid Nabawi untuk solat raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tahun ini, genap 11 tahun pensyarah Universiti Taibah, Dr. Noordin Othman dan keluarganya menetap di bumi Madinah.

Antara rutin 10 beranak ini setiap kali raya adalah dengan bermalam di Masjid Nabawi.

Langkah tersebut diambil anak jati Kota Bharu berusia 54 tahun ini bagi mengelak kesesakan lalu lintas yang luar biasa untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Hal itu kerana, kebanyakan jalan di sekitar bandar mula ditutup beberapa jam sebelum solat berkenaan.

Sehubungan itu, dia bersama isteri, Zuraini Mukri, 47, serta lapan anak memilih keluar sekurang-kurangnya lapan jam lebih awal agar tidak terperangkap dalam kesesakan tersebut.

Anak-anaknya ialah Nurhafizzin Azhan (22), Afrina (21), Yasmin (19), Kamilia (17), Faris (15), Haris (12), Affan (10) dan Elina (5).

“Rutin 1 Syawal kami bermula dengan ‘bermalam’ di Masjid Nabawi dengan keluar dari rumah seawal pukul 10 malam.

“Sebelum ini kami pernah menempuhi kesesakan dengan parkir sejauh hampir dua kilometer dan kemudian berjalan kaki ke masjid.

“Bukan apa, kalau datang sedikit lambat contohnya antara pukul 3 ke 4 pagi, ruangan dalam masjid mulai penuh dan jemaah perlu solat di bahagian luar,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Di Madinah, solat sunat Aidilfitri didirikan 15 minit selepas syuruk dengan yang terkini pada pukul 6.30 pagi.

Sepanjang bermalam di Masjid Nabawi, keluarga ini memanfaatkan masa mereka dengan amalan-amalan seperti bertakbir, berzikir, solat sunat dan membaca al-Quran.

Menurut Noordin, bagi jemaah yang ingin bersolat di Masjid Qiblatain yang berdekatan dengan rumah, boleh sahaja pergi pada waktu solat duha.

Ujarnya, sesudah selesai solat raya, mereka tidak terus pulang ke rumah disebabkan keadaan lalu lintas yang masih lagi sesak.

Kebiasaannya, mereka perlu menunggu di Masjid Nabawi sehingga ke pukul 10 pagi, setelah trafik mula reda.

Aktiviti beraya selepas isyak
Di Malaysia, amalan ziarah dan kunjung-mengunjung lazimnya dilakukan selepas solat Aidilfitri.

Namun, situasi itu berbeza di Madinah kerana aktiviti beraya bermula setelah solat isyak.

Ujar Noordin, di sebelah siang, masa kebanyakannya dihabiskan dengan berehat di rumah.

“Boleh dikatakan kami tidak tidur sejak dari malam, jadi kesempatan itu digunakan untuk rehat.

“Biasanya, majlis raya rakyat Malaysia di Madinah memang bermula selepas isyak dan hari seterusnya pun kalau beraya ke rumah kawan-kawan pada waktu yang sama,” katanya.

Jelasnya, sambutan Syawal di perantauan, tidak semeriah di tanah air.

Suasananya sederhana sahaja terutama kerana rakyat Malaysia yang berkeluarga tidak ramai menetap di Madinah.

Noordin berkata, antara keunikan beraya di Madinah ialah berpeluang berkunjung ke rumah sahabat atau jiran dari pelbagai negara.

Dalam masa sama, membolehkannya dan keluarga mengenali budaya bangsa lain dan menikmati juadah berbeza.

“Jarang kami dapat makanan macam di Malaysia, sekali-sekala bila jumpa juadah seperti itu memang menggembirakan,” katanya.

Rumah terbuka
Sebagai anak perantau, antara momen lebaran yang tidak dapat dilupakan Noordin ialah apabila menganjurkan majlis rumah terbuka di kediaman kecilnya.

Majoriti tetamunya adalah pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Islam Madinah di samping sahabat yang bekerja di sana atau kawasan-kawasan lain di sekitar Arab Saudi.

Ketika ini, bilangan komuniti Malaysia dianggarkan kira-kira 500 orang dengan sebahagian besarnya merupakan pelajar dan jururawat.

“Setiap tahun, menu wajib di rumah terbuka kami ialah sate, nasi himpit, kuah kacang, rendang dan nasi minyak.

“Manakala untuk kuih-muih raya pula kebanyakannya dibuat sendiri oleh anak-anak perempuan saya seperti karipap mini, semperit dan cornflake madu.

“Selain itu, Afrina turut membuat pelbagai pemanis mulut antaranya brownies, kek sarang semut dan puding karamel untuk tetamu,” katanya.

Tidak pernah kerja raya
Sepanjang 11 tahun berkhidmat di universiti, Noordin tidak pernah melalui pengalaman bertugas di Aidilfitri.

Kebanyakan universiti di sana mula bercuti seawal 10 malam terakhir Ramadan sehingga seminggu selepas raya.

Kongsinya lagi, hanya anak kedua iaitu Afrina yang memiliki pengalaman itu.

“Afrina bekerja di Masjid Nabawi dan pernah diminta bertugas pada raya ketiga,” katanya yang berkesempatan pulang dua kali untuk berhari raya di Malaysia.

Mengulas mengenai baju raya pula, ujarnya, tema mereka sekeluarga pada tahun ini ialah biru gelap.

Lelaki memakai jubah manakala wanita pula abaya dan baju kurung.

Tradisi lepas belon di Mesir
Di Mesir, Syawal diraikan dengan acara melepaskan belon selepas umat Islam selesai menunaikan solat sunat.

Keunikan itu dikongsikan seorang pelajar jurusan al-quran dan qiraat di Maahad Qiraat Al-Azhar Shoubra, Muhammad Zakiyuddin Rijaluddin, 23.

Dia yang berasal dari Parit Buntar sudah dua tahun menetap di Mesir kerana melanjutkan pengajian.

“Belon-belon dimasukkan dalam jaring besar dan kemudian dilepaskan selepas habis solat sebagai menandakan hari kegembiraan.

“Bagaimanapun, sambutan raya di Mesir tidak seperti di Malaysia yang penuh meriah kerana budaya orang Arab di sini lebih meraikan Ramadan berbanding Syawal.

“Selepas solat, semua pulang ke rumah masing-masing dan kalangan anak perantau mula membuat panggilan video dengan keluarga di tanah air bagi melepaskan rindu,” katanya.

Kongsi Muhammad Zakiyuddin, tradisi beraya menjadi amalan kebanyakan rakyat Malaysia di sana.

Malah, rumah terbuka turut dianjurkan sama ada di peringkat kedutaan mahupun persatuan-persatuan negeri.

“Biasanya saya beraya ke rumah kawan-kawan yang dekat dan jauh untuk mengeratkan lagi ukhuwah.

“Menu raya wajib bagi pelajar perantauan di Mesir ini semestinya rendang ayam dan daging cuma yang susah untuk dibuat di sini ialah lemang dan ketupat,” katanya.

Bagi baju raya pula, ujarnya, kebanyakan pelajar membelinya dari Malaysia di samping ada segelintirnya yang memakai jubah seperti orang Arab.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×