SAMPAI bila MCA, Gerakan terus hadap undi Melayu? Berubahlah, ambil peluang keemasan tatkala DAP dilanda krisis identiti, terutama dalam memenangi hati Cina. Jangan terlalu mengharapkan undi Melayu untuk menang mudah.
Walaupun kumpulan berpendidikan Inggeris dalam DAP yang diketuai oleh kem Lim Guan Eng menang di Johor, melalui proksinya, Liew Chin Tong, terdapat masih lagi banyak lagi liku dalam pemilihan kepemimpinan parti itu.
Dalam senario politik DAP hari ini, terdapat tiga zon kubu DAP dan Perlis dikecualikan kerana tidak begitu sinomin dalam menentukan kepemimpinan parti itu di peringkat pusat.
Zon pertama ialah kubu kuat DAP yang selalunya akan menentukan hala tuju kepemimpinan DAP iaitu Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Majoriti ahli parti dari zon ini didominasi oleh kaum Cina dan sebahagian kecil India.
Zon kedua ialah Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang yang sebahagian besar keahlian adalah terdiri antara kaum Cina dan Melayu.
Zon ketiga ialah Sabah dan Sarawak, yang dianggotai oleh bumiputera di sana, dengan sebahagiannya adalah kaum Cina. Zon ini agak berkembang pesat disebabkan perubahan generasi Y dan Z di kedua-dua negeri tersebut.
Kumpulan Guan Eng yang sebahagian besarnya dipimpin oleh dominasi kumpulan Cina Kristian berbanding kumpulan berpendidikan Cina yang didominasi oleh Cina bukan Kristian.
Ini menunjukkan pendekatan kumpulan Guan Eng yang menggunakan sentimen politik konsosialisme (perkongsian kuasa) ini dengan menonjolkan barisan pelapis kepemimpinan baharu, yang bakal menggantikan dinasti Lim dalam DAP. Anthony Loke adalah anak didik barisan kepemimpinan yang dilatih oleh Lim Kit Siang sejak beliau menyertai DAP.
DILEMA
Jika dilihat dalam sejarah pemilihan 2008, apabila kumpulan tertentu kalah dalam pemilihan DAP, mereka bakal keluar dan menubuhkan sebuah parti baharu. Senario ini juga berulang kembali pada 2013, apabila terdapat serpihan kepimpinan DAP yang kalah di Pulau Pinang akhirnya menubuhkan sebuah parti baharu.
Dalam pemilihan kali ini amat menarik kerana akan menentukan cara hala tuju DAP sama ada ingin meneruskan konsep parti komunal yang tidak berasaskan kaum atau sebaliknya berpegang kepada parti berasaskan kaum.
Ini disebabkan usaha DAP untuk menarik keahlian kaum bukan Cina untuk menyertai parti itu belum berjaya sepenuhnya.
Perlu diingatkan, sebahagian besar kemenangan DAP dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu adalah disebabkan sokongan 90 peratus kaum Cina ke atas DAP. Ini sudah pasti akan berlaku satu situasi menang-menang antara kedua-dua kumpulan tersebut yang bertanding untuk merebut jawatan kepemimpinan tertinggi parti itu.
DAP kini menjadi tunjang utama politik Cina selepas berlakunya tsunami Gerakan pada 2008 dan tsunami MCA dan MIC pada 2013. MCA dan Gerakan kini kian kelihatan mendiamkan diri dan tidak menunjukkan sebarang reaksi positif dalam kalangan kaum Cina.
Apa yang pasti DAP kini dalam dilema antara memburu impian untuk menjadi satu parti berbilang kaum atau menjaga undi Cina yang menyokong kemenangannya yang hampir mutlak dalam perebutan kerusi-kerusi Parlimen Cina dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Cina.
Sudah pasti jika barisan kepimpinan pilihan Kit Siang tidak menjadi, apakah DAP akan bergolak atau menerima takdir tersebut. Agak sukar untuk menjadi satu parti yang tidak bersifatkan cauvinis kaum jika keahlian masih didominasi satu kaum.
Perubahan ini sememangnya dinantikan oleh sebahagian besar komponen parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) supaya DAP tidak lagi dilabelkan sebagai parti dominasi Cina.
TEKA-TEKI
Walaupun pada umumnya ramai mengatakan kaum Cina lebih tinggi pendapatan berbanding kaum Melayu dan India. Sebenarnya ini tidak berlaku. Sebahagian besar kaum Cina adalah dalam kategori berpendapatan sederhana (M40) dan rendah (B40).
Hanya sekelompok kecil yang mempunyai pendapatan terlalu tinggi dan menyebabkan apabila pengiraan pendapatan per kapita mengikut kaum. Kaum Cina dilihat lebih berpendapatan tinggi tetapi senarionya agak jauh meleset.
Disebabkan itu, sebahagian kaum Cina yang menyokong DAP amat berharap dapat membawa satu perubahan yang lebih baik untuk kehidupan bagi kumpulan Cina B40 dan M40. Tetapi ternyata harapan dan jangkaan itu tidak menepati seperti dirancang.
Impak Covid-19 kini menyebabkan sebahagian kaum Cina ingin melihat DAP lebih bersifat kemasyarakatan daripada bersifat politik. Jika ini tidak berlaku, kemungkinan besar kaum Cina akan mengalih sokongan. Tetapi sokongan kepada parti manakah yang masih menjadi teka-teki sehingga hari ini?
Di sinilah Gerakan dan MCA perlu belajar daripada kesilapan lalu, yang terlalu bergantung kepada undi Melayu. Kedua-dua parti ini perlu menggerakkan usaha yang lebih proaktif dalam memenangi hati kaum Cina. Jika tidak, kedua-dua parti ini masih tidak berupaya bangun daripada kekalahan sejak 2008 lagi.
Ingatan kami kepada MCA dan Gerakan, jangan terlalu licik dan asyik mengemis undi Melayu dan bertanding di kawasan majoriti Melayu, sebagai jalan pintas untuk menang. Taktik ini sudah basi. Orang Melayu sudah makin meluat. Sudahlah menang, yang diperjuangkan tetap Cina.
Melihat kepada situasi ini, Parti Cinta Malaysia dan parti-parti kecil dominasi kaum Cina mampu mengubah situasi politik Cina jika strategi dan cara gerak kerja adalah selari dengan kehendak penggantian selain DAP dalam minda politik Cina di satu hari nanti.
PROFESOR Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah ialah Pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Dr. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM).











