SUBANG JAYA: Jumlah mangsa insiden kebakaran paip gas di Putra Heights untuk menuntut insurans kenderaan dijangka meningkat sejak tragedi itu berlaku pada 1 April lalu.
Bagaimanapun, Penolong Pengurus besar Teknikal Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), William Tan berkata, masih terlalu awal untuk pihaknya membuat jangkaan jumlah nilai tuntutan insurans yang dilakukan oleh mangsa.
Katanya, ia memandangkan pemilik rumah masih tidak boleh masuk ke kediaman masing-masing bagi mendapatkan nilai sebenar kerugian.
“Tujuan kami di sini untuk memberikan khidmat nasihat kepada mangsa kebakaran sekiranya mereka ada persoalan berkaitan tuntutan insurans syarikat pilihan mereka.
“Sekiranya mereka bertanya tentang apa yang boleh dituntut berkaitan insiden kebakaran tersebut, syarikat insurans yang ada di sini akan membuat semakan polisi untuk diterangkan kepada mangsa.
“Untuk hari ini, kebanyakan mangsa bertanya tentang prosedur tuntutan insurans rumah tetapi kebanyakan dari mereka lebih menuntut insurans kenderaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Sebelum ini, kerajaan belum mengenal pasti nilai anggaran kerugian akibat insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Selasa lalu.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, prosedur mengenal pasti jumlah kerugian akan diurus dan diumumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.











