SUBANG JAYA: Sambutan Aidilfitri yang disangka dipenuhi kemeriahan bertukar duka bagi keluarga di Putra Heights apabila kediaman mereka rentung dalam kebakaran yang berpunca daripada letupan paip gas, pada 1 April lalu.
Mangsa, Alim Ahmad, 49, yang pulang beraya ke Perak terpaksa menerima kenyataan perit itu apabila rumahnya rosak teruk dalam kejadian tersebut.
“Saya baru nak menikmati raya dengan keluarga, tiba-tiba dapat panggilan rumah terbakar. Perasaan masa tu sukar digambarkan, dada rasa sesak.
“Bila saya diberi kebenaran pulang oleh pihak berkuasa semalam, saya tidak dapat tahan air mata melihat rumah yang dulu tempat kami berteduh, kini tinggal abu dan runtuhan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau menyifatkan kenangannya dan usaha bertahun-tahun membina kehidupan di situ turut lenyap dalam sekelip mata.
Seorang lagi mangsa insiden itu dikenali Sahrunizam, 49, berkata, dia berada di kampungnya di Sungkai, Perak, ketika kejadian dan hanya mengetahui berita itu selepas dihubungi jiran.
“Saya bertolak balik kampung pagi Sabtu selepas sahur. Waktu dapat tahu rumah terbakar, hati rasa luluh, tidak terkata. Rumah sewa yang saya duduki ini antara yang paling teruk terjejas.
“Semua dokumen penting hangus, termasuk dua buah motosikal. Kami hanya pulang dengan pakaian di badan, langsung tak ada apa-apa yang tinggal.
“Saya tidak tahu macam mana nak mulakan hidup semula. Sekarang kami terpaksa tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS). Nak cari rumah baru pun belum tentu ada duit,” katanya.
Sementara itu, Zuraidah Zaibidin, 46, tidak menyangka kepulangannya beraya di kampung halaman dari Taiping, Perak, bertukar menjadi kenangan pahit apabila mendapat berita rumah yang didudukinya sejak tiga tahun lalu musnah dalam insiden itu.
“Saya bersama suami dan lima anak pulang ke kampung sejak Sabtu lalu. Sebelum keluar rumah, saya sempat ambil surat beranak dua anak kecil saya kerana hati rasa tak sedap.
“Rupa-rupanya firasat saya betul, rumah kami betul-betul terbakar. Semua barang kami habis hangus, termasuk dokumen penting, rumah, sebuah kereta dan sebuah motosikal,” katanya.











