PETALING JAYA: Kawasan letupan saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya tidak wajar dibuka semula kepada penduduk dalam masa terdekat selagi siasatan tidak selesai dan aspek keselamatan belum dipastikan sepenuhnya.
Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piarapakaran berkata, penilaian menyeluruh terhadap punca insiden, keadaan struktur premis, sistem perpaipan serta pendawaian perlu dilakukan terlebih dahulu.
Katanya, penilaian rapi wajar dilakukan terhadap struktur premis, sistem paip dan pendawaian sebelum penduduk dibenarkan kembali ke kediaman masing-masing.
Beliau menjelaskan bahawa kawasan yang terdedah kepada suhu melampau dan gegaran akibat letupan berisiko mengalami kerosakan tersembunyi yang hanya dapat dikesan melalui ujian teknikal.
“Pihak berwajib perlu melakukan pemeriksaan penuh terhadap struktur premis untuk menentukan tahap keselamatannya sebelum membenarkan penduduk pulang ke rumah mereka.
“Saya mencadangkan supaya agensi berkaitan melaksanakan pemeriksaan seperti melibatkan komuniti sekitar saluran paip dalam pelan tindak balas kecemasan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau turut menekankan kepentingan pelaksanaan penilaian risiko secara berkala terhadap sistem paip gas terutama berhampiran kawasan perumahan, hospital dan infrastruktur kritikal.
“Langkah keselamatan tambahan bagi kawasan kritikal seperti perumahan dan infrastruktur utiliti patut dikaji dan dilaksanakan dengan segera. Analisis risiko sistem bekalan gas patut dijalankan mengelakkan insiden sebegini daripada berulang,” katanya.











