YANG memisahkan Indonesia dan Malaysia adalah Selat Melaka, tetapi rasa rindu dan sayang tidak pernah sekali kurang. Itu pengakuan Datuk Seri Rossa tatkala menerima pesanan ringkas daripada saya.
Lebaran kali ini, kami cuba tampilkan perbezaan. Membingkaikan wajah bintang negara seberang yang cukup dekat di hati rakyat Malaysia. Saban tahun, dia hadir menabur benih cinta seninya buat tatapan ramai.
Tetapi sudah dua tahun, dia membenam rasa rindu terhadap Pecinta Rossa. Dia bungkamkan segala rasa kerana pandemik yang bukan sahaja meragut nyawa namun turut merompak kebahagiaan segelintir kita.
Hakikatnya bagi Rossa, dia terpaksa akur dengan ‘kehendak’ alam dan semestinya percaturan Tuhan. Siapa dia untuk menidakkan. Percaya semua ini ada hikmah, bagi penyanyi hebat ini, dia menanti sinar.
“Alhamdulillah, saya sihat. Kes Covid-19 di sini (Indonesia) sangat tinggi tetapi terkawal. Saya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) demi memastikan keselamatan diri.
“Malah setiap kali saya keluar atau terlibat dalam apa jua aktiviti, saya akan pastikan diri berada dalam jarak ditetapkan. Saya juga akan pastikan semua yang terlibat dalam sebarang aktiviti telah melakukan ujian saringan,” katanya.
Di kala kadar kematian mencecah lebih 46,000 kes di sana, pastinya timbul kerisauan tinggi dalam diri penyanyi lagu Hati Yang Kau Sakiti ini. Tetapi dia tahu, kehidupan harus diteruskan dalam norma baharu.
Tidak paranoid, cuma mengakui diri terlalu berhati-hati dalam menjalani kehidupan harian, jelas Rossa industri seni di negara republik itu juga tidak kurang umpama kapal yang melayari lautan berombak.
Hampir 75 peratus aktiviti seni terpaksa dibatalkan sejak awal 2020, pandemik benar menggusarkan ramai pemain industri tersebut.
“Situasinya sama seperti di Malaysia. Hanya program televisyen dan konsert secara virtual yang boleh diadakan. Malah, majlis perkahwinan, korporat dan alumni juga dikecilkan skalanya.
“Maka kami juga sama merasa kesukarannya. Ada yang sehingga bernafas dalam lumpur. Mencari rezeki walau sekecil mana pulangannya. Semuanya demi kelangsungan kehidupan dalam keadaan sekarang,” katanya.
Sunyi? Tidaklah!

Mengalih soalan ke arah sambutan hari raya, bagaimana agaknya seorang Rossa menyambut Aidilfitri? Adakah puluhan baju raya sudah tersusun untuk disarung? Berapa agakanya dia berbelanja untuk raya semata.
Malah, tertanya-tanya juga, Rossa masak atau tidak di pagi raya? Adakah dia mudah untuk menyerahkan tugas itu kepada pembantu atau dia letak tepi status seorang diva dan menyarung tugas sebagai ibu?
Tergelak kecil tatkala soalan itu ditanya, Rossa tanpa malu menjawab, dia hanya orang biasa. Busana raya bukan satu kerisauan. Apa yang penting adalah pelukan cinta dan sayang daripada keluarga serta rakan terdekat.
“Saya tak pernah fikirkan sangat soal baju raya. Asalkan cantik dan kena, tiada masalah. Tahun ini, saya menyarung busana raya daripada Mandja by Ivan Gunawan yang juga saya sebagai rakan kongsi.
“Rossa masak atau tidak? Semestinya saya memasak. Saya juga ada program memasak di Youtube tau. Jadi memasak bukan satu masalah untuk saya,” kata wanita yang kekal anggun di tangga usia 42 tahun ini.
Tidak menunggu lama, soalan panas menyusul tiba. 12 tahun menyandang gelaran ibu tunggal kepada Rizky Langit Ramadan, apakah tiada rasa sunyi yang menyelinap ke dalam hatinya terutama tatkala menyambut raya?
Yalah, memiliki portfolio seni yang cukup hebat ditambah dengan kejelitaan dan aura seorang bintang. masakan tiada siapa yang pernah mencuba nasib bukan? Tidakkah dia merasa sunyi hidup ‘sendirian’?
“Hahahaha sejujurnya, saya tidak pernah rasa sunyi. Saya ada anak yang cukup hebat, anak-anak saudara, keluarga dan sahabat handai yang dekat di hati.
“Jika sesiapa mahu cuba untuk dekat dan mengenali siapa Rossa, ya saya juga akan menerimanya dengan hati terbuka,” jelasnya.
Kini sudah berada di Sumedang bersama ibu dan bapanya, menyambut Aidilfitri dalam norma baharu tidak pernah difikirkan oleh Rossa. Namun, dia bersangka baik dengan ujian Tuhan dan percaya segalanya ada hikmah.
“Dua kali menyambut Aiditfitri dalam norma baharu, kita semua tidak pernah menyangka ini akan berlaku. Tetapi kita harus terima ini adalah satu ujian daripada Allah kepada umat-Nya.
“Saya menyambut lebaran secara sederhana dan kecil. Saya hanya beraya di rumah dan zoom meeting dengan sahabat serta ahli keluarga lain,” katanya yang sudah lebih tiga dekad bergelar anak seni.
Rindu Malaysia!
Jika ditanya kepada penggemar muzik tempatan, jarang sekali orang tidak mengenali Rossa. Tidak hanya hebat di negaranya, Rossa juga berjaya mencuri hati peminat-peminatnya, Pecinta Rossa.
Wajahnya saban tahun berdiri di hadapan ribuan peminat, menyanyikan lagu-lagu malar segar yang menjadi siulan ramai. Tidak hairan, dia cukup disayangi dek jiwa hamba dan keperibadian santunnya.

Cukup rindu dengan Malaysia, penyanyi Ayat Ayat Cinta ini cukup menantikan tiba saat dia kembali menjejakkan kaki ke negara bertuah ini. Mengalunkan lagu di hadapan peminatnya dan bersua bicara dengan sahabat handai, itu antara yang cukup dirindukan.
“Sumpah rindu sangat dengan Malaysia! Sudah dua tahun saya tidak bertemu sahabat baik di sana dan tidak menyanyi di hadapan Pecinta Rossa. Saya tidak boleh menjejakkan kaki di sana lagi buat masa ini.
“Saya rindu semuanya orang. Saya rindu menghirup udara Malaysia. Makan dan minum di sana. Saya rindu semuanya!” katanya.
Aturan seni 2021
Pastinya kegiatan seni Rossa sedikit terjejas dek pandemik yang berlaku. Namun, dia bijak memanfaatkan apa sahaja peluang yang ada. Sukar duduk diam, Rossa merencana aktiviti seni dengan baik.
“Situasi yang berlaku membolehkan kita mencari peluang berbeza. Saya juga mengacarakan dua buah program baharu, Langit Muzik dan Viu. Malah, saya juga sudah ada saluran YouTube sendiri tau!
“Saya juga sedang sibuk mengembangkan sayap syarikat pengurusan. Buat masa ini, kami sudah merancang untuk 11 program baharu sepanjang 2021. Bersyukur sangat,” katanya.
Baru melancarkan dua single, Masih dan The Heart You Hurt, Rossa juga berkolaborasi dengan pelakon Korea popular, Ki Do Hoon dan ahli kumpulan Super Junior, Lee Donghae sebagai wajah di muzik videonya.
“Inilah keberkatan dalam samaran. Apa yang berlaku ini ada hikmah. Kami berjaya menyempurnakan impian dan merakam muzik video itu di Indonesia serta Korea Selatan. Nanti tengok tau!” katanya.










