PETALING JAYA: Pelakon, Nadhir Nasar, tidak melatah, sebaliknya menerima segala kritikan yang dilemparkan terhadap lakonannya dalam filem terbaharu, Chelot, dengan hati terbuka.
Nadhir, 30, menyifatkan teguran penonton sebagai ramuan penting bagi seorang pelakon untuk terus memperbaiki mutu persembahan dalam setiap naskhah yang diterajui pada masa hadapan.
“Segala kritikan itu saya anggap sebagai komen membina. Alhamdulillah, saya sebenarnya memerlukan maklum balas sebegitu untuk menjadi lebih baik daripada sebelum ini.
“Umur saya kini mencecah 30 tahun dan baru lima tahun berkecimpung dalam industri seni. Masih banyak ilmu yang perlu saya gali dan perbaiki. Sebagai pelakon muda, saya harus membuka ruang untuk menerima segala pandangan demi kematangan kerjaya,” katanya.
Nadhir ditemui pada majlis pelancaran poster filem Pemuja Syaitan yang berlangsung di 10 Stars Cinema, Hextar World Empire City, di sini semalam.
Pelakon yang mula meledak menerusi drama Project: High Council itu juga tidak menafikan dia membaca setiap komen yang ditinggalkan di media sosial, terutama apabila ia datang daripada peminat yang sanggup melaburkan wang membeli tiket ke panggung.
“Itulah keindahan yang saya nikmati sepanjang berada dalam industri ini. Pasti akan ada orang yang suka dan ada yang sebaliknya. Saya meraikan semuanya dan membaca sahaja komen-komen tersebut.
“Tak dinafikan, kritikan itu penting kerana pada akhirnya, peminat yang membeli tiket untuk menonton. Jadi, saya perlu terima secara terbuka selagi ia tidak memberi kesan besar kepada diri saya,” jelasnya.
Dalam pada itu, Nadhir berkata, dia enggan membiarkan komen negatif menjatuhkan semangatnya, sebaliknya memilih untuk fokus kepada tenaga positif daripada penyokong setia.
“Kita tidak boleh memuaskan hati semua orang. Dalam 10 orang, mungkin ada dua yang tidak suka, tetapi lapan lagi masih memberikan sokongan. Jadi, saya fokus kepada individu yang sentiasa menyokong sahaja.
“Komen-komen sebegitu tidak menjatuhkan semangat kerana saya masih sangat mencintai bidang lakonan ini,” ujarnya lagi.
Terdahulu, persembahan Nadhir dalam sebuah naskhah tular di media sosial selepas ada segelintir penonton melabel lakonannya sebagai ‘cringe’ (janggal). Bagaimanapun, ramai peminat tampil mempertahankan kualiti lakonannya yang dianggap masih berada pada tahap yang baik.
Dalam perkembangan lain, Nadhir bakal muncul dalam filem seram pertamanya berjudul Pemuja Syaitan arahan Liyana Jasmay yang dijadualkan menjengah pawagam pada 15 Oktober depan. – UTUSAN










