RAMADAN tahun ini bagai sebuah filem DC. Gelap, noir dan dihujani negativiti. Bukanlah semuanya begitu tetapi unsur-unsur ini begitu mendominasi, terutamanya dalam media sosial.
Mungkin kerana kerenah pandemik yang tidak sudah-sudah, segala isu sosial mahupun politik yang disapu ke bawah karpet sejak dahulu mula menggunung dan membusuk. Mahu tak mahu, ia perlu didedah dan dibincangkan.
Maka keluarlah segala hal seperti rogol, kerelevanan monarki, kebobrokan penguasa dan kelebaran jurang sosial dalam negara. Semuanya datang hampir serentak, menghentak mental kita yang sudah rapuh dicekik Covid.
Ini masa untuk kita tanam bunga. Tanah perlu ditabur baja busuk untuk subur. Dengan baja busuk, bunga wangi boleh tumbuh subur dan mekar. Maka mari kita mencari damai dalam krisis.
PascaSenja = Malam
Saya jemput dua kugiran untuk bersembang tentang hal raya pandemik dan negativiti Ramadan tahun ini. Mereka ialah Pasca Sini dan Senja.
Tujuan dua kugiran ini dijemput kerana saya sering berasa damai mendengar lagu-lagu Pasca Sini terutamanya dalam album Emo Department. Lebih kurang sahaja seperti mendengar lagu kugiran pop punk lain tetapi untuk Pasca Sini, mereka ada yang istimewa.
Senja pula begitu aktif mengangkat isu di luar muzik di Twitter mereka. Dalam kebanyakan masa, mereka lebih berfungsi sebagai pempengaruh media sosial dalam isu seperti politik dan sosial.
Saya gabungkan mereka untuk mendapat perspektif orang seni dalam hal ini. Rata-rata mereka masih boleh dikira muda, terutamanya Senja yang dibarisi tiga pelajar universiti. Saya mahu korek pandangan segar dan realistik, dan saya percaya ini boleh ditemui apabila Pasca Sini dan Senja digabungkan, menjadi PascaSenja.
Peluk krisis zaman kita
Pastilah semua yang kami sembangkan tak dapat dimuatkan dalam artikel ini. Tapi saya akan cuba rangkumkan semuanya.
Kita perlu jujur, berani hadapi realiti dan cuba merangkulnya sebagai sebahagian cabaran zaman yang kita lalui. Itu saya kira boleh dipersetujui Aqmal, Palie, Thoriq, Anwar, Kasih, Myra dan Inarah.
Seperti yang dikongsi Inarah dan Myra, memahami dan mengenali diri sendiri juga penting supaya kita tahu di mana batas mental sendiri. Jangan biar tekanan yang diterima melepasi batas tersebut. Ambil masa, rehat dari media sosial dan belajar sayangi diri sendiri.
Ada masanya kita terasa seperti dibelenggu tanggungjawab untuk berbuat sesuatu demi dunia tapi kita perlu selalu ingat, mengubah dunia bermula dengan mengubah diri sendiri dahulu. Menjaga kesihatan dunia bermula dengan menjaga kesihatan diri dahulu.
“Aku nak main kord major dan letak senyum pada muka semua orang,” kata Aqmal, berkongsi tentang peranannya sebagai pemuzik dalam membantu peminat menghadapi dunia yang serba menekan.
Saya tahu, meletak senyum pada muka orang melalui muzik adalah organik. Bukan seperti kita tepek topeng untuk menyembunyi gusar. Muzik masuk melalui telinga mengembara ke hati, akal dan seluruh anggota. Kesannya kepada manusia bukan buatan, ia organik.
Sebab itu, kata Aqmal lagi, muzik yang baik boleh ubah mood seseorang sepanjang hari.
Raya panda-mik
Orang tidak pernah tertekan melihat panda yang comel. Itu juga patut jadi pada hari raya. Raya patut mendamaikan dan menggembirakan, tak kira perayaan apa yang disambut.
Anwar dan Thoriq berkongsi tentang gig dalam talian yang dianjurkan sendiri oleh Pasca Sini pada malam raya tahun lalu. Mereka melihat ia sebagai usaha untuk memberi makna kepada raya pandemik pertama yang kita lalui.
Mereka meraikan persekitaran. Kita tak boleh bergerak jauh kerana PKP ketika itu, jadi kita raikan hal yang dekat-dekat. Mereka kumpulkan rakan-rakan yang berjauhan dengan keluarga dan meraikan malam raya dengan semangat kekeluargaan.
Seperti saranan Kasih, kalau kita tahu ada rakan yang keseorangan pada hari raya, jemput dia beraya bersama. Ambil tahu tentang jiran dan mereka di sekitar kita. Tidak dapat balik kampung bukan bererti raya kita hilang makna.
Raikan raya ini dengan positif dan gembira, kawan-kawan. Jangan biar pandemik dan peraturan kerajaan mematikan tradisi kita yang mencari fitrah pada Aidilfitri.
Memandangkan ini artikel terakhir Rondivu dalam Ramadan, izinkan saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua pembaca. Semoga kita dihujani makna sepanjang Syawal ini!










