SIAPA sangka aktiviti membuat lemang sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri belia Kampung Salak Tinggi kini menjadi perniagaan yang membanggakan apabila makanan tradisional tersebut menjadi sajian di syarikat penerbangan.
Menurut Ketua Belia Gugusan Salak (Bagus), Muhammad Hydier Hamid,46, peluang membekalkan Lemang Bagus kepada syarikat pembekal makanan dalam kapal terbang adalah rezeki terbesar di bulan Ramadan ini.
“Kita mula membekalkan lemang sejak 23 Ramadan lalu dan dijadualkan hingga penghujung bulan Syawal tahun ini.
“Mengikut jumlah pesanan yang dibuat, kami perlu membekalkan antara 200 hingga 400 batang lemang setiap hari dalam tempoh lima minggu tersebut.
“Lemang yang kita bekalkan adalah untuk penerbangan laluan ke negara-negara Eropah dan di Timur Tengah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
TINGKAT TENAGA KERJA
Perkembangan itu juga menyaksikan kakitangan operasi ditambah sehingga lebih 70 orang berbanding hanya 50 orang sebelum ini kerana permintaan yang semakin tinggi.
“Kita perlu menambah tenaga kerja, bagi memastikan sasaran kuantiti yang dipesan dan lemang untuk orang ramai sentiasa cukup.
“Maka segala gerak kerja perlu licin dan lancar. 70 pekerja tersebut melibatkan bahagian menyediakan bahan mentah, bahagian membakar, kaunter jualan dan penghantar pesanan lemang seluruh Lembah Klang,” katanya yang sudah 15 tahun mengetuai operasi menghasilkan lemang tersebut.
Mengulas mengenai harga lemang tahun ini, kata Muhammad Hydier, lemang dijual mengikut saiz buluh, sama seperti pengusaha lemang yang lain.
Jelasnya, harga lemang yang dijual adalah dalam lingkungan RM14 hingga RM26 sesuai dengan kuantiti dan keenakannya yang tersendiri.
“Tahun lepas kita berjaya menjual hingga 33,000 batang lemang dengan pesanan bukan setakat di Daerah Sepang sahaja malahan mencakupi seluruh Lembah Klang.
“Tahun ini, insya-Allah dengan adanya pesanan daripada pihak pembekal makanan untuk kapal terbang saya yakin kita boleh menghasilkan 35,000 batang lemang,”ujarnya.
KONGSI REZEKI
Seperti sebelum ini, Lemang Bagus terus berkongsi rezeki bersama golongan yang memerlukan.
Tahun ini, sebahagian keuntungan perniagaan akan digunakan bagi melaksanakan kerja-kerja kebajikan untuk penduduk setempat.
Sebelum ini, pihaknya sudah membeli van jenazah untuk kegunaan kariah setempat dalam urusan berkaitan kematian.
“Kita juga menggunakan keuntungan perniagaan lemang untuk membeli katil boleh laras dan kerusi roda untuk membantu golongan pesakit dan warga emas.
“Untuk tahun ini juga kita akan beli lagi katil boleh laras dan set kotak pengurusan jenazah,” ujarnya.
Selain itu, hasil keuntungan jualan lemang tahun lepas turut digunakan untuk membeli baju raya kanak-kanak daripada keluarga asnaf supaya dapat menikmati hari raya sama seperti insan lain.
Keuntungan jualan lemang juga digunakan untuk menyediakan 800 bakul makanan bagi membantu golongan asnaf meringankan beban kewangan mereka.
“Kita juga menyantuni golongan gelandangan di ibu kota dan memberi mereka bantuan makanan dan kewangan.
“Program kebajikan akan diteruskan bagi membantu masyarakat yang terhimpit dengan kos hidup.
“Harapan saya Lemang Bagus terus mendapat sambutan memberangsangkan daripada orang ramai,” katanya mengakhiri bicara.-UTUSAN









