Ramai ibu-ibu yang mengalami perubahan ketara pada kulit wajah selepas melahirkan cahaya mata disebabkan oleh perubahan hormon, keletihan kurang tidur dan tekanan yang dialami.
Justeru, kulit wajah menjadi kusam, kering, berjerawat serta muncul lingkaran hitam di bawah mata.
Jika dibiarkan berlarutan, kesan postpartum tersebut akan membuatkan si ibu tampil tidak berseri dan akhirnya tidak yakin dengan diri sendiri.
Pengarah Perubatan Klinik Dermourra, Dr. Nadya Amin Shaharudin berkata, selepas bersalin, tahap hormon estrogen dalam badan menurun sekali gus menyebabkan kulit menjadi lebih sensitif.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan reaksi normal yang berlaku pada tubuh dan wajah wanita ini dapat diatasi dengan penjagaan kulit yang sesuai.
Pemilihan produk penjagaan
Pemilihan produk yang betul sangat penting untuk mempercepatkan pemulihan kulit terutamanya wanita yang baru melahirkan.
Kandungan bahan aktif membantu memperbaiki tekstur kulit.
“Produk mengandungi asid hialuronik dapat membantu mengekalkan kelembapan tisu muka dengan mengelakkan kulit daripada kekeringan, manakala vitamin C berfungsi mencerahkan kulit serta mengurangkan kesan pigmentasi yang sering berlaku selepas bersalin.
“Niacinamide mampu memperbaiki tekstur kulit serta mengurangkan kemerahan dan peptida pula berperanan dalam meningkatkan keanjalan kulit serta memperbaiki penghalang kulit,” katanya.
Begitupun, penting untuk memilih produk penjagaan wajah yang lembut dan bebas daripada bahan kimia, memandangkan masih dalam tempoh menyusukan bayi.
Rawatan wajah selepas bersalin
Terdapat kepercayaan mitos lama yang mengatakan mengurut wajah selepas bersalin akan membahayakan kesihatan ibu.
Namun, Dr. Nadya menjelaskan rawatan wajah boleh dilakukan selepas melahirkan anak, pada masa sama perlu memastikan produk yang digunakan sesuai untuk kulit sensitif dan selamat bagi ibu yang menyusu.
Bagi terapi laser dan rawatan intensif lain, sebaiknya berunding dengan pakar dermatologi untuk memastikan keselamatannya.
Walaupun ibu masih dalam keadaan berpantang, rutin penjagaan muka perlu diamalkan agar mengekalkan seri kulit semula jadi.
Kesan penyusuan badan terhadap kulit
Sesetengah ibu yang masih lagi menyusu anak sering mengalami kulit badan yang lebih kering dan sensitif, akibat dehidrasi
Malah dalam sesetengah kes, kulit ibu mungkin menjadi lebih kusam dan hilang keanjalan. Proses penyusuan memerlukan tenaga dan nutrisi yang tinggi. Jika ibu tidak mengambil makanan yang mencukupi, ia boleh menjejaskan kesihatan kulit.
Bagi mengatasi masalah ini, boleh menggunakan pelembap yang kaya dengan bahan berkhasiat seperti ceramide, bagi membantu mengekalkan kelembapan kulit.
“Pengambilan makanan yang tinggi kandungan Omega-3 seperti ikan salmon, kacang dan biji chia dapat membantu memperbaiki keadaan kulit dari dalam,” katanya.
Ibu juga perlu memastikan pengambilan air yang mencukupi bagi mengelakkan dehidrasi kerana kekurangan air dalam badan boleh menyebabkan kulit menjadi lebih kering dan tidak bermaya.
Selain itu, hormon prolaktin yang meningkat semasa penyusuan juga boleh menyebabkan kulit menjadi lebih sensitif dan mudah mengalami iritasi.
Oleh itu, pilihan produk penjagaan kulit lembut, bebas pewangi dan bahan kimia yang berbahaya sangat penting untuk mengelak sebarang reaksi negatif pada kulit.-UTUSAN










