WASHINGTON: Senator Demokrat New Jersey, Cory Booker berjaya memecahkan rekod ucapan terpanjang yang pernah disampaikan di Dewan Senat Amerika Syarikat (AS).
Ucapan maraton yang berakhir selepas 25 jam dan empat minit itu merupakan protes simbolik terhadap Presiden, Donald Trump di mana Booker memberi amaran mengenai masa yang amat kritikal dan mendesak dalam sejarah AS.
Walaupun ia bukanlah ucapan yang direka untuk menghalang kelulusan sesuatu rang undang-undang, tujuannya tetap menghalang urusan perundangan di Senat yang dikuasai oleh Parti Republikan.
Peraturan bagi ucapan sedemikian memerlukan penceramah untuk terus berdiri dan mengelakkan daripada mengambil rehat walaupun untuk ke tandas.
Booker memulakan ucapan sekitar pukul 7.00 malam (waktu tempatan) Isnin dan mengakhirinya pada 8.06 pagi Selasa.
Lelaki berusia 55 tahun itu, yang merupakan Demokrat nombor empat dalam Dewan Senat, mengisi sebahagian masa dengan membaca surat daripada pengundi yang menyatakan mereka terjejas oleh dasar Trump.
Bekas calon presiden itu juga sempat membincangkan topik berkaitan sukan, mendeklamasikan puisi dan menjawab soalan daripada rakan-rakan sejawatnya.
Booker yang berkulit hitam turut berbicara mengenai asal-usul keturunannya.
Rekod ucapan terpanang sebelum ini dipegang oleh Senator Republikan, Strom Thurmond, yang berucap selama 24 jam dan 18 minit menentang Akta Hak Sivil pada tahun 1957.-AGENSI










