Dalam dunia kulinari yang penuh dengan pelbagai jenis hidangan, Nazlya Kitchen tampil dengan keunikan tersendiri yang sukar didapati di tempat lain.

Jika kebanyakan restoran menyajikan menu biasa masakan panas, Nazlya Kitchen mengetengahkan masakan cili kering dan bawang putih sebagai hidangan utama yang menjadi identiti restoran ini.
Tidak sekadar pedas dan berempah seperti masakan biasa, masakan cili kering dan bawang putih di Nazlya Kitchen memberikan pengalaman rasa yang lebih kompleks dan unik.

Pemilik Nazlya Kitchen, Ahmad Nazmi Hedzir, 34 berkata, hidangan berkenaan merupakan hidangan istimewa ciptaannya sendiri.
Katanya, pelanggan yang ingin menikmati juadah tersebut boleh membuat pilihan protein sama ada daging atau ayam yang dijual pada harga RM13 untuk satu hidangan.
Restoran Nazlya Kitchen
Lokasi: Lorong Seri Kuantan 6, Jalan Teluk Sisek, Kuantan
Waktu operasi: Dibuka setiap hari bermula pukul 3.30 petang sehingga 12.30 tengah malam.
Makanan popular: Siakap tiga rasa dan siakap stim limau
“Daging atau ayam dibalut dengan saduran tepung dan kemudiaannya digoreng dengan cili kering dan bawang putih resipi istimewa ciptaan saya sendiri.
“Ini adalah tarikan yang terdapat di restoran kami yang tidak ada di restoran-restoran lain,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Tambah Ahmad Nazmi, tidak hanya dua menu utama berkenaan, malah restoran itu turut menawarkan lebih 50 menu masakan panas.
“Makanan yang paling laris adalah siakap tiga rasa, siakap stim limau, siakap masam manis dan siakap cili kering,” ujarnya dan memberitahu turut menyediakan juadah stimbot pada harga RM19.90 sehingga RM22.90 seorang.
Bercerita tentang restorannya, Nazlya Kitchen merupakan gabungan Gabungan nama Ahmad Nazmi dan isterinya, Alya Farzana Mohd. Lasa, 26.
Katanya lagi, dia yang mempunyai latar belakang pendidikan dalam kulinari membuka restorannya pada Oktober 2023.
“Saya menggunakan konsep kehijauan seperti dalam rimba di mana ia juga merupakan antara tarikan pengunjung ke restoran saya.
“Apabila mereka datang ke restoran saya, mereka tidak hanya boleh menikmati makanan yang disediakan, tetapi juga dapat merakam momen indah bersama ahli keluarga dan rakan,” katanya lagi. – UTUSAN










