KLUANG: Hasrat seorang pramugari pulang ke kampung untuk membawa ibu bapanya menyambut Aidilfitri di Sepang, Selangor tidak kesampaian selepas dia maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 58.1 Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan) dekat sini kelmarin.
Ibu mangsa, Mimi Sabrina Yusuf, 47, berkata, dia hanya mengetahui kemalangan menimpa anak keduanya itu, Iklil Nuraudah Muhammad Redzaa, 23, kira-kira pukul 5 pagi semalam selepas menunggu kepulangannya sejak tengah malam.
Katanya, arwah hendak pulang ke Johor kerana mahu mengambil mereka sekeluarga beraya di rumah sewanya di Sepang.
“Dia meminta saya bersiap-siap dan rancang bertolak ke sana selepas subuh. Pukul 12 tengah malam saya tunggu-tunggu, dia tidak tiba juga, senyap tiada khabar berita, risau juga takut apa apa berlaku.
“Saya dapat tahu (kematian) lambat, anak perempuan sulung saya yang telefon,” katanya ditemui di Unit Perubatan Forensik, Hopsital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, di sini semalam.

Dalam pada itu, bapa Allahyarham, Muhamad Redzaa Abu Hashim, 47, berkata, arwah merupakan anak manja dan bertanggungjawab.
“Selepas berhari raya di Sepang, kami rancang sekeluarga pulang ke Pasir Gudang, Johor Bahru untuk beraya bersama.
“Ini kehilangan besar buat kami sekeluarga, lagipun berapa hari lagi nak Aidilfitri, kami tak jangka terima perkhabaran sedih ini,” katanya.
Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Taib Andak, Kulai. – UTUSAN










