Aidil Fitri ‘bangga’ nama disebut setiap kali hari lebaran

Aidil Fitri ‘bangga’ nama disebut setiap kali hari lebaran

AIDIL Fitri Zainal Abidin menunjukkan kad pengenalannya ketika ditemui di Seremban, semalam. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Setiap kali Aidilfitri tiba, pastinya menerbitkan rasa bangga buat seorang pemuda dari Paroi di sini apabila nama­nya sering disebut-sebut ramai.

Aidil Fitri Zainal Abidin 42, bapa kepada tiga orang anak berkata, walaupun kadangkala namanya itu menjadi bahan usikan namun, dia menyifatkan namanya itu sangat istimewa.

“Saya sentiasa pegang pe­sanan arwah ibu, Mazni Abdul Hamid supaya terus kekal membawa nama yang diberi sehingga dewasa meskipun berdepan dengan gurauan daripada orang sekeliling,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Berkongsi kisahnya, Aidil Fitri berkata, namanya itu telah diberikan oleh arwah ibunya, sempena kelahirannya pada 8 Julai 1983 dan jatuh pada hari raya pertama.

“Saya dilahirkan di Hospital Besar Seremban pada pukul 5 petang. Arwah ibu ada menceritakan, semasa melahirkan saya, prosesnya cukup senang dan mudah.

“Selepas solat raya, arwah ibu telah masuk ke bilik bersalin pada pukul 2 petang dan saya selamat dilahirkan pada pukul 5 petang. Kemudian ibu memberikan nama Aidil Fitri bersempena hari kelahiran yang jatuh pada raya pertama.

“Arwah ayah, Zainal Abidin Abdullah Zaid pula ingin tambah nama Mohd. di depan, arwah nenek pula memberi nama Syawal. Akhirnya setelah berbincang dan kuat kepada ibu yang melahirkan, maka nama saya terus diberi Aidil Fitri sahaja,” katanya lagi.

Dia mengakui di awal membawa nama unik itu, ia menjadi bualan ketika Aidilfitri setiap tahun.

“Memang saya kerap diusik terutama menjelang Aidilfitri namun, lama-kelamaan rakan dan saudara-mara sudah boleh menerima nama itu sehinggalah meningkat dewasa dan memasu­ki alam pekerjaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×