SETIAP kali Ramadan, kiriman bersampul kuning tidak henti-henti dihantar ke kediaman suri rumah yang terletak di Kajang, Selangor ini.
Situasi itu berlarutan selama lapan tahun berturut-turut.
Sampaikan kalangan posmen tertanya-tanya adakah pemiliknya berdarah kerabat berikutan kerap menerima sampul kuning.
Sampul kuning itu sebenarnya merupakan kad-kad raya kiriman balas golongan kenamaan (VIP) kepada Masfaridatul Afiza Mohd. Ali, 45.
Antaranya daripada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan anakanda baginda seperti Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Pengiran Muda Abdul Wakeel dan Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.
Diikuti kad raya oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di samping sultan-sultan di seluruh Malaysia.
Walaupun budaya menghantar kad raya makin dipinggirkan, namun Masfaridatul Afiza masih tetap setia dengan hobinya, sejak sedekad lalu.
Sehingga kini, lebih 1,000 koleksi kad raya ada dalam simpanannya.
Khazanah berharga itu disimpan kemas di dalam fail dan album di samping digantung dalam bingkai gambar di ruang tamu rumahnya.
“Gara-gara kad raya, rumah saya menjadi lokasi persinggahan tetap dan wajib posmen sepanjang Ramadan.
“Paling lucu, segelintirnya turut meneka saya berdarah kerabat kerana banyak menerima sampul kuning dalam tempoh sebulan,” katanya kepada Seri baru-baru ini.

Menceritakan mengenai hobinya itu, ibu kepada tiga anak lelaki ini berkata, ia bermula melalui suami, Mohamad Fauzi Manap, 52.
Pada 2016, dia banyak membantu suami menampal setem dan mengeposkan kad-kad raya kepada jemaah menteri.
Lama-kelamaan timbul rasa minat dan seronok apabila melihat kiriman balas daripada golongan berkenaan.
“Setahun berikutnya, saya mengikut jejak langkah sama dengan mencuba nasib menghantar kad raya kepada VIP seperti Agong dan sultan di semua negeri termasuk Brunei.
“Di peringkat awal, saya tidak tahu kalangan anakanda baginda pun ada kiriman balas berbeza dan sejak itu, jumlah kad makin bertambah kerana saya turut menghantarnya pada semua kaum kerabat,” katanya.
Selain kerabat, dia turut menghantar kad berkenaan kepada sebahagaian besar Ahli Parlimen berketurunan Melayu di Semenanjung di samping keluarga dan sahabat handai.
Tema masjid, ketupat jadi pilihan
Kad raya yang dihantar kepada VIP kebiasaannya bertemakan masjid dan ketupat.
Menurut Masfaridatul Afiza, tema itu menjadi pilihannya sejak dulu hingga kini.
Bagi memastikan jumlah kad mencukupi, bekalannya dibeli daripada pembekal di kedai-kedai buku.
“Disebabkan sukar untuk mencari kad raya di pasaran, saya berhubung terus dengan pembekal sejak sebelum Ramadan lagi.
“Harga kad raya untuk VIP agak mahal iaitu kira-kira RM1.30 sekeping kerana teksturnya yang tebal dan eksklusif,” katanya.
Untuk mengurangkan bebanan kewangan, pembelian kad di samping setem dibuat secara berperingkat selepas berakhirnya Aidilfitri.
Menurutnya, bagi setam, kos perbelanjaan keseluruhan dianggarkan melebihi RM600.
“Bila beli sedikit demi sedikit, tidaklah rasa sangat kosnya yang mahal berbanding jika dibayar sekali gus dan serentak,” katanya sambil tertawa.

Manakala untuk keluarga dan sahabat pula, dia memberikan kad raya berbentuk poskad yang direka khas berkonsepkan Aidilfitri sebelum dicetak.
Katanya, kaedah itu lebih menjimatkan berbanding pembelian kad raya sebenar.
Untuk Aidilfitri kali ini, lebih 200 kad dan poskad raya dihantarnya kepada VIP, ahli keluarga dan sahabat.
“Segala proses menulis serta menampal kad diselesaikan lebih awal, kerana urusan pengeposan kad VIP dibuat pada minggu pertama berpuasa.
“Memasuki minggu kedua pula, saya poskan kad kepada keluarga dan rakan-rakan pula,” katanya.
Hantar 20 kad ke Istana Brunei
Bagi memastikan kad rayanya sampai kepada penerima VIP, lazimnya Masfaridatul Afiza menghantar kira-kira tiga kad kepada penama sama.
Teknik ini menjadi amalan rutinnya dan terbukti membuahkan hasil positif.
Untuk Istana Brunei, keseluruhan jumlah kad yang dihantar pada kali ini ialah sebanyak 20 keping merangkumi sultan, raja isteri dan lima anakanda baginda.
“Biasanya saya gunakan nama saya, suami dan anak bongsu, jadi bolehlah saya dapat kembali kiriman balas tiga kad daripada penama sama.
“Apabila dapat kad sama dalam jumlah banyak, saya dapat simpan untuk koleksi peribadi dan dipamerkan di samping menghadiahkannya kepada rakan-rakan pengumpul yang lain,” katanya.
Kongsinya lagi, kos penghantaran kad raya ke Brunei adalah yang paling mahal dengan setem berharga RM8 untuk setiap satu.
Tetapi, pelaburan dan penat lelahnya berbaloi apabila semua kiriman kad raya berbalas.
“Setakat ini saya cuma menerima kad raya sahaja tetapi beberapa rakan pernah mendapat kiriman duit raya daripada Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, tahun lalu.
“Jumlahnya dikatakan bersamaan nilai RM50 dan kiriman dibuat dengan menggunakan pos berdaftar, bukan pos biasa,” katanya.
Melihat kepada koleksi kad kiriman balas VIP miliknya yang banyak, ada kalangan rakan-rakan yang menawarkan untuk membeli tetapi permintaan itu ditolak.

Tampal gambar, pantun
Ketika ditanya isi kandungan kad raya kepada VIP, Masfaridatul Afiza berkata, ia memuatkan gambar keluarganya dan dua rangkap pantun.
Ujarnya lagi, gambar mereka lima beranak pada raya tahun lalu menjadi pilihannya untuk dicetak dan ditampal pada kad.
“Setiap tahun, saya pilih pantun berbeza dan biasanya saya cari yang sedia ada sahaja di platform Google,” katanya.
Ketika penglibatan awalnya, kata-kata ucapan ditulis tangan, namun kini, dia memilih untuk mencetaknya bagi mempercepatkan proses menyiapkan kad.
Dalam pada itu, katanya, koleksi kad-kad raya itu bukan setakat disimpan, tetapi turut dijadikan hiasan di ruang tamu rumah pada Aidilfitri.
Ia sekali gus dapat mengimbau nostalgia masyarakat zaman dulu kala yang sinonim menggantung kad berkenaan pada dinding.
“Raya kali ini, saya belum dapat lagi ilham dekorasi yang mahu dibuat, tetapi pada tahun-tahun sebelumnya saya letakkan ranting pokok dan macam-macam lagi.
“Tetamu yang datang pun teruja untuk bergambar di sudut kad raya, bahkan mereka membaca setiap satu ucapan yang dititipkan,” katanya.

Mahu hidupkan tradisi
Masfaridatul Afiza turut mengasaskan kumpulan Facebook dikenali sebagai ‘Geng Pengumpul Kad Raya’ bagi menghidupkan kembali tradisi yang makin dipinggirkan itu.
Ketika ini, kumpulan itu memiliki lebih 2,000 ahli di seluruh Malaysia termasuk dalam kalangan generasi muda.
“Misi saya adalah untuk menerapkan kembali budaya menghantar kad di hari raya kerana tidak mahu nostalgia itu lenyap begitu sahaja.
“Sebenarnya ramai yang berminat dengan aktiviti ini tetapi mereka tidak tahu di mana mahu mencari kad dan membeli setem.
“Selain itu, saya selalu berpesan kepada kawan-kawan yang mereka kena ikhlas mengirimkan kad dan jangan mengeluh jika tidak mendapat balasan,” katanya yang pernah menghantar kad raya kepada artis seperti Erra Fazira dan Amy Mastura.










