JOHOR BAHRU: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengadakan perbincangan dengan pengurusan pasukan kebangsaan tentang status penganjuran Pestabola Merdeka pada tahun ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Noor Azman Rahman berkata, pada masa ini pihaknya tidak dapat memberi kata putus tentang penganjuran kejohanan tertua Asia itu.
“Kami akan berbincang dengan pasukan kebangsaan dan kejurulatihan melihat perancangan mereka, sekiranya mereka ada perancangan lain.
“Pestabola Merdeka ini saban tahun kita anjurkan. Jadi, untuk tahun ini kita belum tahu lagi,” katanya.
Noor Azman berkata, keputusan tentang penganjuran Pestabola Merdeka juga akan mengambil kira pandangan jurulatih baharu Harimau Malaya, Peter Cklamovski.
“Kami akan membawa perkara ini dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan untuk perbincangan lanjut. Ini kerana, jurulatih baharu juga mungkin mempunyai perancangan sendiri, termasuk perlawanan persahabatan yang telah dirancang,” katanya.
Tentang aksi persahabatan dengan gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United, beliau berkata, pihak juga tidak ada menerima pemakluman hitam putih tentang perkara tersebut.
“Perlawanan menentang Manchester (United) itu dianjurkan oleh sebuah syarikat, kami belum terima pengesahan rasmi daripada mereka,” katanya. – UTUSAN











