KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan pengagihan dividen sebanyak 5.0 peratus serta bonus dividen 0.25 peratus bagi tahun kewangan 2024 dengan jumlah agihan bernilai RM514.20 juta.
Jumlah itu meningkat berbanding RM485.08 juta yang dibayar pada tahun 2023, menjadikannya jumlah agihan dividen tertinggi LTAT dalam tempoh tujuh tahun kebelakangan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, agihan itu turut memberi manfaat kepada 125,014 pencarum, yang terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), serta menggambarkan tahun ketiga berturut-turut LTAT mengekalkan dividen pada kadar 5.0 peratus, mencerminkan pemulihan kukuh, prestasi mampan serta kestabilan dana.
“Dividen bagi tahun kewangan 2024 akan dikreditkan ke akaun pencarum pada Jumaat, 28 Mac 2025.
“Pencarum boleh menyemak penyata mereka melalui aplikasi mudah alih MyWIRA atau melayari laman web rasmi LTAT di www.ltat.gov.my. Aplikasi MyWIRA boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apple App Store.
“LTAT terus memperkukuh kedudukan kewangannya dengan peningkatan tahun ke tahun secara konsisten dalam semua petunjuk prestasi utama,” katanya pada Majlis Pengumuman Dividen LTAT 2024 di sini, semalam.
Dalam majlis yang sama, beliau turut melancarkan dua inisiatif iaitu Program Satu Pemimpin, Satu Kem Santuni Madani 2025 serta pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Affin Bank dan Mastercard.
“Lima kem tentera telah dipilih bawah inisiatif ‘Kem Santuni Madani’ dengan kerjasama syarikat Kumpulan LTAT.
“Kem yang terpilih seperti Kem Lok Kawi, Pangkalan Tentera Laut Diraja (TLDM), Teluk Sepanggar, Kem Paradise, Kota Belud dan Kem Kabota, Tawau, masing-masing di Sabah serta Pangkalan Tentera Udara Diraja (TUDM), Butterworth, Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua program itu menzahirkan komitmen LTAT dan syarikat kumpulan dalam meningkatkan kesejahteraan di kem-kem terpilih serta memperkukuh literasi dan pengurusan kewangan dalam kalangan warga ATM untuk manfaat jangka panjang.
Sementara itu, bagi tempoh yang ditinjau, LTAT telah mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak RM753 juta, meningkat 2.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Pertumbuhan itu didorong oleh usaha kepelbagaian aset serta pulangan lebih tinggi daripada aset strategik, mencerminkan pengurusan portfolio yang disiplin dan komitmen terhadap pertumbuhan yang mampan.
Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md. Radzi berkata, keuntungan bersih juga terus meningkat positif, dengan lonjakan sebanyak 23.7 peratus kepada RM588 juta bagi 2024 berbanding tahun sebelumnya, disokong oleh pertumbuhan pendapatan yang kukuh serta pengurusan kos yang mampan.
“Sejak 2022, keuntungan bersih LTAT berkembang secara konsisten melebihi RM400 juta setiap tahun, sekali gus mengukuhkan lagi pendapatan yang terkumpul.
“Sementara itu, rizab terkumpul LTAT mencatatkan peningkatan sebanyak 160.6 peratus tahun ke tahun, mencapai RM1,011 juta bagi tempoh yang dilapor.
“Ini merupakan tahun ketiga berturut-turut di mana jumlah rizab meningkat melebihi 100 peratus setiap tahun sejak 2021, mencerminkan keberkesanan strategi pelaburan yang berdisiplin dan pengurusan proaktif terhadap aset-aset legasi,” katanya.-UTUSAN











