KUALA LUMPUR: Calon pilihan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, perlu membawa badan induk itu ke tahap lebih tinggi berbanding era kepimpinan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.
Bekas jaguh badminton negara, Datuk Rashid Sidek berkata, Norza telah meletakkan asas kukuh dalam pembangunan badminton negara, termasuk kejayaan meraih dua pingat gangsa di Sukan Olimpik dan melahirkan juara dunia.
Justeru, cabaran buat Tengku Zafrul kini adalah memastikan Malaysia terus konsisten melahirkan juara serta meningkatkan pencapaian yang sedia ada.
“Sebelum ni (Tan Sri) Norza memang memainkan peranan yang penting. Dapat tingkatkan mutu sukan badminton, dapat pingat Sukan Olimpik semua. Jadi memang dia memainkan peranan yang penting untuk tingkatkan prestasi pemain-pemain sebelum ni. Sebelum ni ada pemain-pemain yang belum jadi juara dunia dan kita dah jadi juara dunia.
“Jadi dekat situ nampak peningkatan beliau. Yang terbaharu (Presiden) ini, seboleh-bolehnya memang kena lebih baik daripada (Tan Sri) Norza,” kata Rashid ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan Persediaan Hari Raya Aidilfitri oleh Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) di Bukit Kiara, semalam.
Antara pencapaian terbaik sepanjang di bawah kepimpinan Norza selama dua penggal sejak 2017 adalah beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 serta Paris 2024 serta turut mencipta sejarah muncul pemain pertama bergelar juara dunia pada 2022.
Sementara itu, Rashid berkata, BAM tidak boleh sekadar mengekalkan momentum tetapi harus mencipta lebih banyak kejayaan di pentas antarabangsa.
Beliau berharap kepimpinan baharu BAM meneliti semula aspek pentadbiran, pembangunan pemain serta kerjasama antara pegawai, jurulatih dan atlet bagi memastikan hala tuju lebih jelas.
“Saya ingatkan Tengku Zafrul sudah bakal menjadi Presiden BAM dan semoga nampak ada peningkatan dan kemajuan daripada segi dapat kejuaraan antarabangsa.
“Menurut pandangan saya daripada segi keseluruhan, pentadbiran dan meningkatkan prestasi pemain-pemain dan juga kolektifnya kerjasama di antara pegawai, pemain dan juga jurulatih,” katanya. – UTUSAN











