Kerjasama dengan UMNO: Hubungan Bersatu, Pas retak?

Kerjasama dengan UMNO: Hubungan Bersatu, Pas retak?

MAHFUZ OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemunculan secara tiba-tiba isu kerjasama antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan UMNO memberi gambaran seolah-olah Bersatu dan Pas sedang mengalami keretakan.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau melihat pelawaan kerjasama itu lebih menjurus antara Bersatu dan UMNO tanpa melibatkan PN secara keseluruhan, ekoran Pas sehingga kini masih memilih berdiam diri.

Dakwa beliau, ia seolah-olah menandakan Bersatu sudah hilang kepercayaan terhadap Pas dan mahu mencari tempat dan rakan baharu untuk berpaut serta bekerjasama.

“Kenapa pada waktu sebegini, mereka (Bersatu) menunggang isu kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sedangkan sebelum ini mereka yang banyak mencemuh, mengkritik kepemimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Adakah ini kerana mereka sudah hilang kepercayaan terhadap Pas? Atau sedang berlaku keretakan hubungan antara parti di dalam PN sehingga mereka terdesak mencari ruang dan peluang untuk mendapatkan sokongan daripada UMNO,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Timbalan Pre­siden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dilaporkan menyatakan kesediaan partinya untuk bekerjasama dengan UMNO.

Menerusi siaran sebuah rancangan audio siar, Hamzah berkata, tiada lagi sebab untuk UMNO dan Bersatu terus berpecah memandangkan dua parti itu berkongsi perjuangan serta wadah politik yang sama.

Tambah Mahfuz, tindakan Hamzah itu menandakan bahawa tiada lagi kemesraan dalam hubungan Bersatu dan Pas.

“Hakikatnya, UMNO dan BN pun tidak mempunyai keinginan untuk menjalinkan hubungan atau kerjasama dengan Bersatu. Ini kerana, mereka sudah pun hilang kepercayaan terhadap parti yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin itu,” jelasnya.

Oleh itu, bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu menyarankan Bersatu mengambil langkah sama seperti yang pernah diambil oleh Parti Semangat 46 iaitu membubarkan parti mereka memandangkan Bersatu juga parti cebisan daripada UMNO.

“Jika mereka betul-betul ingin bekerjasama dengan UMNO, Bersatu kena tunjukkan keikhlasan mereka iaitu sejujurnya mereka dapat menerima UMNO dan tidak lagi mempersoalkan kepemimpinan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×