Ini mungkin Aidilfitri terakhir warga Gaza

Ini mungkin Aidilfitri terakhir warga Gaza

Rakyat Palestin memegang poster ‘Cukuplah pembunuhan dan kemusnahan’ dan ‘Anak-anak Palestin: Kami mahu hidup’ dalam demonstrasi menuntut perang ditamatkan di Beit Lahia, utara Semenanjung Gaza, semalam. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat Palestin di Gaza dijangka tetap menyambut ketibaan Aidilfitri sekali pun dalam serba kedaifan dan walaupun mengetahui hakikat bahawa mungkin menjadi sambutan perayaan terakhir mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, jika dilihat ketika perang besar Palestin-Israel pada 2014, peperangan itu sedikit pun tidak melunturkan semangat penduduk Gaza untuk menyambut Aidilfitri.

Katanya, kanak-kanak Gaza pas­tinya adalah golongan paling gembira menyambut kedata­ngan bulan Syawal sekali pun tanah tersebut kini sudah gersang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada tahun 2014, kanak-kanak di Gaza tetap keluar bermain di padang permainan walaupun ketika itu kawasan tersebut hancur dibedil rejim Zionis sehinggakan pada akhirnya mereka juga menjadi sasaran tindakan kejam tentera Israel.

“Ini kerana Ramadan dan Syawal adalah bulan penting kepada mereka sekali pun mungkin menjadi sambutan puasa dan Aidilfitri terakhir untuk mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Berdasarkan senarai terbaharu Kementerian Kesihatan Palestin sehingga 22 Mac lalu, jumlah korban di Gaza mence­cah 50,021 orang, dengan mangsa termuda adalah bayi baru lahir dan tertua berusia 110 tahun.

ADS:D

Daripada jumlah itu hampir satu pertiga mangsa merupakan remaja dan kanak-kanak berusia bawah 18 tahun.

Selepas dua bulan gencatan senjata dalam perang 18 bulan sejak 7 Oktober 2023, Israel meneruskan serangan besar-besaran ke atas Gaza sejak Selasa lalu sehingga mengorbankan lebih 700 nyawa.

Dalam pada itu, Muhammad Nadir berkata, bantuan kemanusiaan yang digerakkan CGM melalui Jordan terpaksa dihentikan sementara waktu susulan tindakan Israel menutup pintu sempadannya berhampiran negara tersebut.

Katanya, pihaknya terpaksa mengubah strategi bantuan dengan mendapatkan bekalan makanan daripada dalam Gaza yang kini harganya meningkat lebih berkali ganda kerana kekurangan stok.

“Kami sedang menyediakan bantuan dari dalam Gaza sendiri cuma sedikit berbeza kerana harga ayam dan daging di wilayah itu meningkat mendadak. Jika sebelum ini harga seekor ayam adalah sekitar RM20 ke RM30 namun kini sudah mencapai RM200 seekor.

“Jadi bantuan diutamakan adalah bahan makanan daripada sumber sayur-sayuran, roti dan lain-lain yang boleh disalurkan kepada lebih ramai penerima berbanding bantuan makanan seperti ayam dan da­ging,” katanya.

Tambahnya, situasi bekalan makanan di Gaza masih belum mencapai tahap kebuluran namun stoknya semakin berkurang kerana Israel menyekat kemasukan sebarang bantuan kemanusiaan sejak dua minggu lalu.

“Sebelum ini ketika gencatan senjata sementara dilaksanakan, kira-kira 500 trak bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza dalam sehari, tetapi ia tidak mencukupi untuk menampung keperluan lebih dua juta penduduk.

“Keadaan sekarang belum mencapai tahap kebuluran tetapi bekalannya semakin hari semakin berkurangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN