PETALING JAYA: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) diiktiraf sebagai Tapak Demonstrasi Ekohidrologi UNESCO menerusi pensijilan rasmi daripada The UNESCO Intergovernmental Hydrological Programme (UNESCO-IHP) Oktober lalu.
Pengiktirafan tersebut dicapai melalui projek pengurusan air ribut mampan yang berperanan mengatasi masalah berkaitan air. Projek itu membantu dalam meningkatkan kualiti air, menambah sumber air dan mengurangkan kesan negatif terhadap ekosistem.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Task Force UNESCO Ecohydrology Demonstration Sites UTHM-IHP, Profesor Madya Ir. Dr. Mohd. Adib Mohamad Razi, pengiktirafan tersebut membuktikan pihaknya komited dalam mengaplikasikan prinsip ekohidrologi dalam pengurusan sumber air.
“Kejayaan ini bukan hanya memberi manfaat kepada komuniti setempat, malah menyumbang terhadap usaha global dalam pemeliharaan sumber air,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Adib berkata, pensijilan itu membuka peluang luas kepada UTHM untuk memperluas jaringan kerjasama penyelidikan ekohidrologi serta bertukar kepakaran dengan institusi lain di seluruh dunia.
“Pengiktirafan ini sekali gus meletakkan UTHM sebagai institusi peneraju dalam pengurusan lestari sumber air, seiring matlamat pembangunan mampan dan usaha pemuliharaan alam sekitar di peringkat global,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan UTHM, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Humid Tropics Centre Kuala Lumpur (HTCKL), Jawatankuasa Task Force EDS dan River Engineering and Urban Drainage Reseach Centre (REDAC), Universiti Sains Malaysia (USM) dalam memperkenalkan pengurusan sumber air yang lebih mesra alam.
Dalam pada itu, konsep Amalan Mesra Alam Malaysia (MSMA) diaplikasikan melalui pembinaan kolam tadahan dan sistem saliran sedia ada serta menggabungkan aspek teknikal dan ekologi melalui konsep Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM). – UTUSAN










