Gadis Siam tidak kekok anyam ketupat palas

Gadis Siam tidak kekok anyam ketupat palas

CHAVALIN Prichacon Somphon bersama anak-anak muda yang lain menganyam ketupat di pasar lokal nostalgia raya di Kangar Street Art, pekan lama Kangar, Perlis semalam. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Meskipun baru ber­usia 18 tahun, Chavalin Prichacon Somphon, seorang gadis berbangsa Siam dari Utan Aji di sini tidak kekok menganyam ketupat palas yang menjadi hidangan tradisi di Aidilfitri.

Chavalin yang mempelajari seni menganyam ketupat daripada neneknya sejak kecil itu juga selalu menyediakan juadah berkenaan khususnya pada musim perayaan bagi meraikan pelbagai kaum di negara ini.

Menarik, remaja itu juga merupakan satu-satunya bukan Melayu yang memenangi pertandingan menganyam ketupat dalam satu program anjuran sekolah dua tahun lalu sekali gus menjadi kenangan manis buatnya.

Chavalin berkata, minat me­nganyam ketupat mula timbul sejak dia masih kecil selepas melihat keluarganya terutama nenek yang sering menyediakan juadah berkenaan pada musim perayaan.

Katanya, selepas itu, dia mula mempelajari seni menganyam ketupat palas tersebut sehingga mahir.

Ujar anak sulung daripada empat beradik itu, hidangan tradisi Melayu khususnya pada Aidilfitri itu sememangnya sa­ngat sedap dan tidak lengkap jika tidak disediakan.

“Menganyam ketupat ini menuntut kesabaran yang tinggi dan perlu dipelajari dengan tekun dan dipraktik berulang kali supaya ia benar-benar dapat dikuasai. Mula-mula memang agak susah khususnya me­ngenai cara-cara lipat berbentuk segi tiga. Namun, selepas berulang kali dipratik dan lama kelamaan saya semakin mahir.

“Tidak menjadi sebarang masalah bagi kita yang bukan Melayu ini untuk belajar menyediakan hidangan tradisi tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Chavalin berkata, anak muda khususnya perlu mempelajari seni menganyam ketupat ini kerana dikhuatiri lama-kelamaan seni berkenaan akan pupus dan lenyap sekiranya ia tidak diwarisi generasi hari ini.

Sementara itu, penganjur pasar lokal nostalgia raya, Juliana Arianti Armain berkata, aktiviti menganyam ketupat bagi menarik golongan muda menyediakan hidangan tradisi itu antara yang menarik perhatian.

“Pasar lokal bersempena raya itu akan berlangsung dari 23 sehingga 30 Mac dengan membawa suasana raya di kampung. Aktiviti menganyam ketupat ini akan diteruskan jika ia terus mendapat sambutan terutama dalam kalangan anak muda.

“Inisiatif tersebut diambil bagi menarik minat orang muda mewarisi seni menganyam ke­tupat ini agar tidak pupus di­telan zaman. Jika tidak ada orang muda mempelajari seni menganyam ketupat ini, dikhuatiri ia akan pupus kelak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×