BERMULA di sebuah medan selera pada 2018, Muhammad Shafiq Loo, 32, kini berjaya mengembangkan perniagaan makanan Saltys HQ sehingga mencatat jualan mencecah RM85,000 sebulan hasil daripada sambutan luar biasa pelanggan terhadap menu yang diketengahkan.
Dengan tiga cawangan yang kini beroperasi, termasuk dua cawangan utama di Sri Hartamas dan Wangsa Maju serta satu francais di Cyberjaya, Saltys HQ semakin mendapat tempat di hati peminat makanan dan terus berkembang sebagai jenama makanan unik yang menawarkan cita rasa berbeza daripada kebiasaan.
Menurut Muhammad Shafiq, pemilihan nama Saltys adalah kerana ia melambangkan rasa keju yang menjadi asas kepada menu pertama mereka, iaitu mac and cheese, yang merupakan antara hidangan kegemaran ramai di kedainya.
“Minat saya terhadap makanan dari pelbagai budaya seperti makanan Barat, Cina, Korea dan Jepun telah mendorong saya untuk mencuba sesuatu yang baharu dengan menggabungkan elemen-elemen ini ke dalam menu Saltys HQ,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ujarnya, idea untuk membuka perniagaan ini tercetus secara spontan ketika beliau bersiar-siar di The H Hartamas dan melihat beberapa ruang kedai kosong yang boleh disewa, lalu tanpa berfikir panjang, beliau memutuskan untuk mencuba nasib sebagai vendor di lokasi tersebut.
Pada November 2018, Saltys HQ mula beroperasi dengan konsep makanan yang lebih mesra kepada golongan muda dengan menawarkan hidangan seperti mac and cheese, loaded fries, nachos dan burger, sebelum akhirnya mengembangkan pilihan makanan yang lebih menyeluruh untuk menepati selera semua peringkat usia.
Namun, seperti kebanyakan usahawan dalam bidang makanan dan minuman (F&B), dia juga berdepan dengan cabaran besar, terutamanya dari segi persaingan yang semakin sengit serta kenaikan harga bahan mentah yang tidak menentu, sekali gus memberi impak kepada operasi perniagaannya.
“Bagi menghadapi cabaran ini, kami sentiasa mengikuti perkembangan trend semasa dengan menghasilkan kandungan media sosial secara konsisten selain melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memperkenalkan menu baharu yang mampu menarik perhatian pelanggan.
“Saya turut memanfaatkan strategi pemasaran digital melalui platform seperti Facebook dan Instagram bagi memastikan jenama Saltys HQ terus dikenali serta menarik lebih ramai pelanggan untuk mencuba hidangan yang ditawarkan di restoran.
“Selain itu, bagi mengawal kos perniagaan yang semakin meningkat, saya juga terpaksa membuat keputusan untuk menghentikan beberapa menu yang memerlukan bahan mentah dengan kos terlalu tinggi bagi memastikan harga makanan yang dijual masih berpatutan kepada pelanggan,” ujarnya.
Muhammad Shafiq berkata, keunikan Saltys HQ terletak pada pemilihan menu yang tidak hanya menampilkan makanan biasa tetapi diolah dengan cita rasa dan persembahan yang lebih moden, menjadikannya pilihan utama pelanggan yang mencari pengalaman kulinari yang berbeza.
“Menu pertama yang melonjakkan jenama kami ialah mac and cheese spicy Korean chicken, yang mendapat lebih 30,000 like dan perkongsian di Instagram, sekali gus membuktikan bahawa menu ini benar-benar menambat selera pelanggan,” katanya.
Selain itu, Saltys HQ juga menjadi perintis kepada pengenalan roti john premium yang tampil dengan pelbagai pilihan topping menarik seperti bulgogi beef, Philly cheese steak dan beef ribs, menjadikannya antara hidangan yang paling mendapat permintaan tinggi di kedainya.
Tidak hanya itu, hidangan nasi New York yang merupakan gabungan rasa unik dari masakan Mediterranean dan Amerika Syarikat juga mendapat sambutan luar biasa kerana kombinasi rasa yang jarang ditemui di pasaran tempatan.
Muhammad Shafiq percaya bahawa pemilihan menu yang unik serta usaha berterusan dalam melakukan inovasi terhadap hidangan yang ditawarkan merupakan faktor utama yang membantu Saltys HQ terus kekal relevan dalam pasaran walaupun berdepan persaingan sengit.
Berkongsi mengenai perancangan masa depan perniagaannya, Muhammad Shafiq berhasrat untuk melihat Saltys HQ menjadi antara peneraju utama dalam industri makanan tempatan sebelum meluaskan perniagaan ke peringkat antarabangsa.
“Kami mahu memastikan jenama ini dapat diperluaskan ke lebih banyak lokasi dengan membuka lebih banyak cawangan serta memberi peluang kepada individu yang berminat untuk menyertai francais Saltys HQ.
“Bagi memperkukuh jenama Saltys HQ, syarikat kini dalam perancangan untuk memperkenalkan produk makanan sedia dimakan (RTE) yang dijangka menjadi cabang perniagaan baharu.
“Dalam masa yang sama, kami juga sedang membangunkan sistem francais yang lebih mesra serta sistematik bagi membolehkan lebih ramai usahawan menyertai perniagaan ini dan membantu jenama Saltys HQ berkembang ke seluruh negara.
“Kami juga komited untuk memberi impak positif kepada komuniti serta memastikan kelestarian dalam operasi kami supaya jenama ini bukan sahaja berkembang, tetapi turut memberi manfaat kepada lebih ramai pihak,” katanya.
Dengan sokongan pelanggan yang semakin bertambah serta usaha berterusan dalam memastikan jenama ini kekal relevan, Muhammad Shafiq yakin Saltys HQ akan mencapai kejayaan yang lebih besar dan mampu bertahan dalam industri makanan untuk jangka masa panjang.-UTUSAN










