WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mencatat kedudukan kebahagiaan terendah dalam sejarah, sebahagiannya disebabkan oleh peningkatan jumlah rakyatnya yang makan sendirian.
Finland kekal menduduki tangga teratas sebagai negara paling bahagia di dunia untuk lapan tahun berturut-turut, dengan penduduk dan pakar mengaitkan kebahagiaan itu dengan faktor tasik serta sistem kebajikannya.
Manakala, Afghanistan terus memegang gelaran sebagai negara paling tidak bahagia di dunia, berikutan krisis kemanusiaan yang semakin buruk sejak Taliban kembali berkuasa pada 2020.
AS jatuh ke tangga 24, skor terendah sejak laporan itu pertama kali diterbitkan pada 2012, ketika ia mencatat kedudukan tertinggi di tempat ke-11.
“Jumlah orang yang makan sendirian di AS meningkat sebanyak 53 peratus dalam tempoh dua dekad lalu,” kata penulis sambil menekankan berkongsi makanan sangat berkait rapat dengan kesejahteraan.
Pada 2023, kira-kira satu daripada empat rakyat AS melaporkan makan semua hidangan mereka sendirian pada hari sebelumnya, menurut laporan tahunan tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam.
“Peningkatan jumlah orang yang makan sendirian adalah satu sebab penurunan kesejahteraan di AS,” katanya.
Laporan juga menyatakan, AS adalah antara negara yang menyaksikan peningkatan kematian disebabkan oleh bunuh diri atau penyalahgunaan bahan terlarang, ketika kadar itu menurun di kebanyakan negara lain.
Laporan itu meninjau penduduk di seluruh dunia pada 2022 hingga 2024, sebelum perubahan besar dalam hal ehwal negara dan global oleh Presiden AS, Donald Trump sejak kembali ke Rumah Putih pada Januari.
Negara Nordik kekal dalam senarai 10 negara paling bahagia, dengan Denmark, Iceland dan Sweden berada di belakang Finland.
Sementara itu, Costa Rica dan Mexico buat pertama kali memasuki senarai 10 teratas, masing-masing di tempat keenam dan ke-10.–AGENSI











