Platform e-dagang ‘bunuh’ kedai fizikal

Platform e-dagang ‘bunuh’ kedai fizikal

ORANG ramai mengunjungi Bazar Aidilfitri Jalan TAR untuk membeli kelengkapan Hari Raya. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kewujudan platform e-dagang yang menawarkan harga murah ‘membunuh’ kedai-kedai fi zikal dengan rata-rata pendapatan peniaga terjejas dengan sangat ketara.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa negeri mendapati, kehadiran pengunjung ke premis perniagaan tahun ini hambar termasuk pada hujung minggu disebabkan orang ramai lebih berminat membeli secara dalam talian.

Yang Dipertua Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Selangor (PPPKM), Hanim Mohd. Said berkata, tahun ini menyaksikan premis dan lot perniagaan suram berikutan jumlah pengunjung kurang termasuk pada hujung minggu.

Katanya, dalam tinjauan di bazar Aidilfitri, jumlah peniaga lebih ramai daripada pembeli menyebabkan peniaga mengeluh jualan tidak memberangsangkan.

“Sejak kemunculan platform e-dagang, terutamanya pada musim perayaan ini peniaga mengeluh sebab tidak mendapat sambutan berikutan kecenderungan orang ramai membeli di platform seperti TikTok yang lebih murah dan mudah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Hanim berkata, kerajaan mesti meneliti impak platform jualan dalam talian terhadap peniaga di kedai-kedai fizikal bagi mengelak mereka gulung tikar.

Peniaga di Bazar Aidilfitri Dataran Jam Besar, Sungai Petani turut mengeluh apabila suasana di bazar itu tidak seme­riah tahun-tahun sebelum­nya berikutan kurang pengun­jung menyebabkan jualan mereka terjejas.

Peniaga pakaian, Rose Elisa Nadzri, 27, berkata, tahun ini dia terpaksa menjalankan perniagaan fizikal dan dalam talian secara serentak bagi mengelak terus rugi.

Peniaga di Dataran Udang Galah, Jalan Mahkamah di Te­luk Intan, turut kecewa kerana tapak jualan kurang pengunjung biarpun waktu perniagaan dibuka hingga tengah malam.

Peniaga pakaian, Kamariah Roni, 23, berkata, jumlah pe­langgan terlalu kurang sejak hari pertama dia berniaga di situ.

“Saya sudah lima tahun berniaga di tapak ini pada Ramadan, tetapi tahun ini pendapatan saya paling teruk. Ramai peniaga menurunkan harga barangan, tetapi tetap sukar menarik pelanggan untuk datang membeli,” katanya.

Peniaga pakaian, Ashari Mohusin, 45, membuka tapak di bazar Aidilfitri untuk tahun ketiga mengakui terkejut kehadiran pengunjung yang kecil dan khuatir tidak mampu balik modal dan bayar sewa tapak.

Turut terjejas peniaga di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) apabila pendapatan mereka merosot disebabkan kurang pengunjung.

Peniaga, Mohd. Ali Nur Bidar, 37, yang lebih 15 tahun berniaga pakaian  berkata, jualannya merudum lebih 50 peratus sejak 2023, memaksanya beralih kepada perniagaan makanan.

“Saya cuba buat jualan dalam talian namun tidak menggemari kaedahnya dan  memutuskan beralih kepada berniaga makanan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×