GAZA: Gaza secara rasmi memasuki fasa pertama kebuluran ekoran sekatan Israel yang menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan ke wilayah tersebut.
Ketua Pejabat Media Kerajaan Gaza, Ismail Thawabteh berkata, hampir dua juta penduduk kehilangan sepenuhnya jaminan makanan.
“Rakyat Palestin sedang menghadapi bencana kemanusiaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini akibat penutupan pintu sempadan oleh Israel dan sekatan terhadap kemasukan bantuan kemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Thawabteh berkata, semua pasar di Gaza telah kehabisan bekalan makanan asas menyebabkan penduduk Palestin kehilangan keperluan asas hidup.
“Puluhan kedai roti telah berhenti beroperasi kerana larangan terhadap import bahan bakar mengakibatkan penurunan besar dalam jumlah roti yang boleh didapati oleh penduduk Gaza,” jelasnya.
Pada Jumaat lalu, Program Makanan Sedunia (WFP) melaporkan bahawa mereka tidak dapat menghantar sebarang bekalan makanan ke Gaza sejak 2 Mac akibat penutupan semua pintu sempadan oleh Israel untuk semua bekalan kemanusiaan dan komersial.
Thawabteh juga menyebut bahawa puluhan telaga air telah berhenti berfungsi, memburukkan lagi krisis air di wilayah tersebut.
“Kehidupan di Gaza berisiko untuk musnah sepenuhnya dalam beberapa hari akan datang jika serangan Israel tidak dihentikan dan pintu sempadan tidak dibuka segera,” katanya.
Sejak Selasa, serangan udara Israel yang disambung semula di Gaza telah mengorbankan sekurang-kurangnya 436 orang dan mencederakan lebih 670 yang lain, melanggar perjanjian gencatan senjata yang telah berkuat kuasa sejak Januari.
Hampir 50,000 rakyat Palestin telah terkorban, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak sementara lebih 112,000 yang lain cedera dalam kempen ketenteraan Israel yang ganas di Gaza sejak Oktober 2023.
Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berikutan perangnya di wilayah tersebut.- AGENSI











