Tidak serik ‘tersangkut’ 20 jam demi beraya di kampung

Tidak serik ‘tersangkut’ 20 jam demi beraya di kampung

Semua kenderaan barangan dilarang berada di jalan raya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri selama empat hari bermula 29 Mac ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

‘Perjalanan jauh tak ku rasa. Kerna hati ku melonjak sama.’

Memuatkan artikel berkaitan…

Benarlah, bait-bait lirik lagu Balik Kampung dendangan Allahyarham Sudirman ini yang sering berkumandang tiap kali tibanya Syawal.

Jarak yang memisahkan bukanlah penghalang untuk pulang ke pangkuan ayah bonda tercinta di pagi hari raya.

Anak-anak perantauan khususnya dari Pantai Timur antara yang paling hebat melawan dugaan kesesakan trafik saban tahun demi pulang ke kampung setiap kali lebaran.

Berbanding negeri-negeri lain, perjalanan yang kebiasaannya memakan masa tujuh atau lapan jam ke Terengganu atau Kelantan boleh mencecah sehingga 21 jam apabila tiba musim perayaan disebabkan oleh keadaan jalan dan pertambahan mendadak kenderaan perantau yang pulang ke kampung.

Perantau, Muhammad Imaduddin Ismail yang mencari rezeki di ibu kota berkata, setiap tahun dia pasti tersangkut dalam kesesakan jalan raya kira-kira 18 hingga 20 jam untuk pulang ke kampung di Padang Lembek, Ketereh, Kelantan.

Paling lama adalah pada 2018 apabila dia terkandas dalam kesesakan selama lebih 21 jam dari Kuala Lumpur ke Kelantan yang disifatkan menguji kesabaran dan mental.

Namun, ia tidak mematahkan semangatnya untuk melihat senyuman manis yang terukir di bibir kedua orang tua tatkala melihat anak tercinta pulang beraya bersama.

“Memang penat dan meletihkan kerana terpaksa menghabiskan hampir seharian di dalam kereta.

“Namun, rasa teruja dan gembira mengatasi segalanya kerana saya tahu di hujung perjalanan, ibu dan ayah menunggu kepulangan dengan penuh rindu,” katanya yang masih bujang.

Katanya, kesesakan teruk biasanya berlaku di sekitar Tol Gombak hingga ke Tol Bentong disusuli di Jalan Raub-Kuala Lipis dan yang terakhir, di Jalan Gua Musang-Kuala Krai.

“Biasanya, saya pulang dua hari sebelum raya untuk membantu ibu bapa membuat segala persiapan raya. “Sebelum bertolak saya pastikan segala keperluan sudah lengkap, termasuk baju raya untuk ibu bapa, duit raya, serta kuih-muih sebagai buah tangan untuk dibawa ke kampung,” katanya.

Begitu juga dengan guru, Siti Noor Aina Baharudin, 36, yang mengajar di sebuah sekolah di Kuala Lumpur.

Katanya, pengalaman pulang ke kampung halaman yang terletak di Ketereh untuk menyambut Aidilfitri memang meletihkan.

Namun, momen itulah yang ditunggu-tunggu saban tahun oleh mereka sekeluarga.

Dia dan suami yang berasal dari Kelantan tidak melepaskan peluang untuk menyambut kemeriahan Aidilfitri bersama keluarga dan sanak-saudara di kampung walaupun terpaksa meredah kesesakan hampir 18 jam.

Malah, mereka sering kali terpaksa berhenti berehat sementara di rumah penginapan atau hotel di sekitar Gua Musang kerana kepenatan sebelum menyambung semula perjalanan ke Kota Bharu yang mengambil masa kira-kira lapan jam.

Namun, tiada istilah serik kerana momen itu dilalui dengan gembira bersama suami dan dua anaknya yang tidak sabar bersua dengan saudara-mara di kampung.

“Kesesakan itu sudah menjadi kebiasaan kami anak-beranak dan biasanya kami bertolak sekitar pukul tiga atau empat pagi bagi mengelakkan anak berpanas di dalam kereta.

“Suami saya pula mengambil langkah keselamatan dengan berehat secukupnya sehari sebelum kami memulakan perjalanan bagi memastikan dia kekal cergas untuk memandu sepanjang perjalanan,” katanya yang akan pulang ke kampung minggu depan.

Daripada segi kos pula, akui Siti Noor Aina mereka terpaksa mengeluarkan belanja yang agak besar untuk berehat sementara di hotel, tidak termasuk kos minyak yang berganda kerana kesesakan dan makan minum sepanjang perjalanan.

“Setiap tahun, perjalanan pulang ke kampung sahaja memerlukan belanja kira-kira RM500. Namun, semua kos itu sudah disiapkan daripada awal untuk melancarkan perjalanan,” kongsinya.

Sakit satu badan Penerbit rancangan radio, Nur Farhana Mohammad Nor pula berkata, perjalanan pulang ke kampung di Kelantan sangat mencabar apatah lagi dia pernah tersangkut kira-kira 16 jam dalam kesesakan lalu lintas.

Kenderaan yang bertali-arus memasuki negeri itu menyebabkan dia bersama suami dan anak-anak terpaksa menempuh perjalanan panjang di dalam kereta. “Sebenarnya, seronok juga kerana terasa kemeriahan raya bila nampak ramai anak perantau pulang ke desa.

“Tetapi tidak dinafikan memang sakit satu badan kerana duduk lama di dalam kereta. Hentian rehat dan rawat (R&R) pula tidak banyak sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pantai Timur, jadi agak susah bila sesak dan ada kecemasan,” ujarnya.

Justeru, dia dan suami membuat persediaan awal sebelum bertolak ke kampung dengan memastikan kenderaan dalam keadaan baik bagi mengelakkan perkara tidak diingini.

Cabaran anak perantauan bukan sahaja ketika pulang ke kampung, malah apabila mahu pulang semula ke tempat mencari rezeki.

Berkongsi pengalaman, Mohamad Firdaus Mat Zain, 35 berkata, dia pernah terkandas dalam kesesakan jalan raya selama 23 jam dari Pasir Putih, Kelantan ke Pasir Gudang, Johor.

Begitupun, sejak awal dia telah mempersiapkan mental dan fizikal untuk ‘berjuang’ dalam kesesakan lalu lintas setiap kali tibanya Aidilfitri.

“Saya tidak pernah serik sebab masa balik kampung adalah waktu yang sangat mengujakan. “Setakat kesesakan yang hendak dibandingkan dengan kerinduan pada bumi kelahiran tercinta apalah sangat,” katanya yang pulang beraya di Kelantan setiap tahun.

 

Manfaatkan teknologi untuk kurangkan keletihan memandu

Kewujudan pelbagai aplikasi yang menunjukkan keadaan jalan dalam masa nyata perlu dimanfaatkan oleh semua perantau yang mahu pulang ke kampung untuk mengelakkan terperangkap terlalu lama dalam kesesakan lalu lintas.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Law Teik Hua berkata, teknologi seperti Google Map dan laman sesawang Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sangat membantu untuk mengetahui keadaan semasa jalan.

Justeru, pengguna digalakkan untuk sentiasa memeriksa keadaan jalan sebelum dan semasa untuk mengelakkan kesesakan selain bersedia dengan sebarang insiden di sepanjang perjalanan. “Kena selalu periksa Google Map untuk tengok tempat yang sesak dan sebagainya.

Boleh juga tengok laman sesawang LLM jika ada kawasan yang berlaku kemalangan.

“Saya akan ambil langkah untuk keluar dari lebuh raya dan menggunakan jalan dalam sekiranya sudah tahu ada kesesakan atau berlaku kemalangan di depan.

“Langkah ini dapat mengurangkan keletihan memandu dan menjadikan kita sentiasa fokus dengan keadaan jalan,” katanya. Selain itu, pastikan kenderaan diselenggara dengan baik sebelum memulakan perjalanan serta merancang perjalanan dengan lebih awal bagi mengelak kemalangan di musim perayaan. Sebaiknya, bagi yang pulang bersama ahli keluarga atau rakan-rakan, pastikan ada pemandu ganti yang boleh memandu kenderaan jika pemandu utama berasa letih dan mengantuk.

“Jika tiada pengganti, pastikan pemandu mendapatkan rehat yang cukup untuk bertolak.

“Jika mahu bertolak selepas habis waktu bekerja, dapatkan rehat sekurang-kurang 15 hingga 20 minit sebelum memulakan perjalanan untuk memastikan tubuh benar-benar bersedia untuk memandu,” ujarnya.

Teik Hua juga mengingatkan orang ramai supaya membawa kon keselamatan jalan raya sebagai persediaan awal sekiranya berlaku kerosakan kenderaan semasa perjalanan.

Kon keselamatan jalan raya memainkan peranan penting untuk memberi amaran kepada pemandu lain sekiranya kereta mengalami kerosakan dan tersadai di tepi jalan. Pengguna jalan raya juga disarankan untuk sentiasa mengambil langkah keselamatan semasa memandu dengan tidak memandu secara laju dan tergesa-gesa sehingga membahayakan diri sendiri dan orang lain.

“Sudah selamat sampai di kampung pun kena berhati-hati sebab 30 persen kemalangan berlaku ketika hendak pergi beraya.

“Kebiasaannya kerana orang kampung tidak biasa dengan pertambahan kenderaan yang mendadak. Malang memang tidak berbau tetapi elakkan memandu secara laju. Kalau berlaku kemalangan sekalipun tetapi jika tidak laju, mungkin impaknya tidak akan besar,” nasihatnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN