Bolehkah Malaysia laksanakan PM dua penggal?

Bolehkah Malaysia laksanakan PM dua penggal?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bolehkah Malaysia melaksanakan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri selama dua penggal atau 10 tahun untuk membolehkan pelaksanaan misi dan pembaharuan memajukan negara?

Ketika ini, negara seperti Amerika Syarikat dan Indonesia mengehadkan tempoh pemimpin politik menerajui kerajaan selama dua penggal, langkah yang dilihat berjaya membangunkan negara itu selain menangani pelbagai isu termasuk rasuah dan nepotisme.

Mengulas cadangan itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia perlukan kajian mendalam kerana rasuah dan apa juga penyelewengan boleh berlaku tidak mengira tempoh kepemimpinan seseorang Perdana Menteri.

“Kalau hendak seleweng, sekejap pun boleh seleweng. Bukan had masa yang menjamin pemimpin jadi baik atau buruk. Ia bergantung kepada tahap iman, kejujuran dan ama­nah seseorang dengan Allah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini bersetuju dengan cadangan mengehadkan tempoh PM kepada 10 tahun. Jika cadangan itu mendapat sokongan dua pertiga Ahli Parlimen, ia boleh diusulkan di Dewan Rakyat dan pindaan Perlembagaan boleh dibuat.

Tuan Ibrahim berpandangan, peluang seharusnya diberikan kepada mana-mana pemimpin yang diperlukan rakyat serta adil kepada semua pihak.

“Banyak perancangan jangka panjang perlukan masa untuk laksanakan. Kehebatan Khalifah Umar Abdul Aziz memerlukan masa untuk memimpin dengan penuh keadilan. Namun pemimpin yang zalim, menindas rakyat dan gagal perlu diturunkan segera. Tidak perlu diberi tempoh dua penggal,” katanya.

Ahli Majlis Pimpinan Ter­tinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan pula berkata, cadangan itu pernah dibangkitkan pada 2018 semasa Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).

Malah katanya, sudah ada draf mengenai cadangan tersebut dan Wan Junaidi memanggil telah semua wakil parti terma­suk PKR dan beliau sendiri sebagai wakil Bersatu.

“Sekiranya Anwar benar-benar hendak buat cadangan tersebut, seminggu selepas menjadi Perdana Menteri sudah boleh teruskan usaha yang dibuat Wan Junaidi dahulu.

“Versi yang dibawa Wan Junaidi dahulu, kita ada beri pandangan dan komen tetapi sekarang kita mahu tengok sejauh mana perubahan atau penambahbaikan yang dibuat kepada versi kali ini sebelum kami boleh beri pandangan yang le­bih dalam,” kata Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu.

Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd. Shahar Abdullah pula pada asasnya bersetuju tempoh pentadbiran seseorang Perdana Menteri dihadkan, namun tetap mahu kajian teliti dilaksanakan.

“Jika 10 tahun kita hadkan tempoh pentadbirannya, ia akan melalui dua Ranca­ngan Malaysia (RMK), adakah ia cukup untuk melaksanakan dasar tersebut kerana dasar yang dibuat itu adalah dasar yang menyeluruh.

“Sebab itu ia memerlukan (kajian) libat urus dan tempoh tersebut perlu diambil kira supaya tidak ada sebarang ‘ke­rencatan’ yang boleh berlaku, mungkin bila tukar Perdana Menteri, kita akan tukar lagi dasar yang ada.

“Pada saya, jangan kita hadkan selagi ia memberi ruang yang sempit untuk pelaksanaan dasar tersebut,” katanya.

Bagi Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan dua penggal sudah cukup lama untuk memastikan apa-apa kebaikan dapat dilaksanakan.

“Kepemimpinan negara harus sentiasa ada proses pembaharuan atau ‘renewal’. Dan negara juga tidak ketandusan pemimpin untuk dipilih,” katanya.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar pula berkata, tempoh 10 tahun atau dua penggal sudah mencukupi untuk seseorang pemimpin berkhidmat sebagai Perdana Menteri.

Malah katanya, cadangan itu baik kerana ia membantu negara membina pemimpin pelapis yang berkebolehan, kompeten dan berpengetahuan.

“Kita tidak mahu sejarah-sejarah lama iaitu berlaku satu pemusatan kuasa yang begitu (kuat) dan akhirnya melahirkan orang-orang yang merasakan diri mereka powerful (berkuasa), ini boleh menyebabkan berlakunya salah guna kuasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×