PETALING JAYA: Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) melabur dalam Bluesify Solutions Sdn. Bhd. (Bluesify), penyedia perkhidmatan keselamatan terurus (MSSP) tempatan bagi memperkukuhkan pertahanan siber di negara ini.
Pelaburan strategik menerusi Dana Asas I Ekuinas ini menekankan komitmen berterusannya untuk memacu pertumbuhan syarikat bumiputera dalam sektor strategik.
Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Datuk Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir berkata, ancaman siber telah meningkat dari segi skala serangan dan tahap kecanggihannya, menimbulkan kesan negatif kepada perniagaan dan juga individu.
Katanya, pelaburannya dalam Bluesify adalah langkah penting untuk mengukuhkan sokongan terhadap keselamatan ekosistem siber Malaysia dan memastikan syarikat-syarikat serta perniagaan mempunyai perlindungan yang diperlukan untuk menentang ancaman digital yang semakin berleluasa.
“Berbekalkan modal pertumbuhan ini, Bluesify bakal menyokong keperluan keselamatan siber negara dengan meluaskan tawaran perkhidmatan merangkumi seluruh kitaran hayat keselamatan siber dan mengembangkan pusat pengesanan dan tindak balas terurus (MDR).
“Pada masa yang sama, Bluesify bercadang untuk mengembangkan operasi ke pasaran serantau, untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi penyelesaian keselamatan termaju dan terkini di seluruh Asia Tenggara,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, menerusi Bluesify, Ekuinas akan menembusi industri keselamatan siber yang semakin pantas berkembang di Asia Tenggara, yang dijangka mencatatkan kadar pertumbuhan terkompaun tahunan 9.5 peratus, daripada AS$4.9 bilion (RM21.8 bilion) pada 2025 kepada AS$7.1 bilion (RM 31.3 bilion) pada 2029.
Bluesify ditubuhkan pada 2012 oleh Izman Ibrahim dan Faroze Mohd Salleh.
Syarikat ini menawarkan rangkaian penyelesaian keselamatan siber serba lengkap, termasuk pusat pengesanan dan tindak balas siber terurus 24 jam sehari tujuh hari seminggu, risikan ancaman terurus dan pemburuan ancaman, perkhidmatan tindak balas insiden siber dan perkhidmatan daya tahan dan perundingan siber.
Bluesify mempunyai portfolio pelanggan yang semakin meluas, terdiri daripada syarikat-syarikat terkemuka dalam sektor kewangan, tenaga dan infrastruktur, penjagaan kesihatan, kerajaan dan badan berkanun.
Pengarah Urusan Bluesify, Izman Ibrahim berkata, pelaburan ini merupakan satu mercu kejayaan yang bakal mencetus transformasi penting bagi Bluesify dan pihaknya hasrat untuk membawa Bluesify ke fasa pertumbuhan seterusnya.
“Kami komited untuk menyediakan perkhidmatan keselamatan siber terkini, berpandukan kepakaran berlandaskan kecerdasan buatan (AI) yang menjanjikan tahap perlindungan tertinggi dalam ekosistem digital yang sentiasa berubah,” ujarnya.
Pelaburan ini dibuat tepat pada masanya berikutan penggubalan Akta Keselamatan Siber Malaysia 2024, yang menetapkan syarat pelesenan bagi penyedia perkhidmatan keselamatan siber dan pematuhan kawal selia lebih ketat bagi entiti-entiti perniagaan yang merupakan pemilik dan pengendali Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII).-UTUSAN










