PETALING JAYA: Permintaan global untuk kargo udara pada Mac lalu terus mengatasi jumlah permintaan tahap sebelum pandemik Covid-19 dengan peningkatan 4.4 peratus.
Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) berkata, permintaan pada bulan tersebut mencapai paras tertinggi sejak data siri pasaran kargo udara global bermula pada 1990.
Ketua Pengarahnya, Willie Walsh berkata, kargo udara terus mencatat pertumbuhan positif bagi sektor penerbangan dan syarikat penerbangan mengambil pelbagai langkah untuk memenuhi kapasiti yang diperlukan.
“Krisis akibat pandemik telah menunjukkan yang kargo udara dapat memenuhi cabaran dengan menggunakan inovasi dengan pantas.
“Begitulah caranya untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat, walaupun sebahagian besar pesawat penumpang tersadai,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, sektor itu perlu mengekalkan momentum prapandemik ini bagi mendorong kecekapan jangka panjang industri dengan digitalisasi.
IATA turut memaklumkan permintaan bulan ke bulan melonjak 0.4 peratus pada Mac berbanding bulan sebelumnya.
“Namun, pertumbuhannya lebih perlahan daripada bulan sebelumnya yang menyaksikan permintaan meningkat 9.2 peratus berbanding Februari lalu.
“Prestasi lebih lemah dicatatkan syarikat penerbangan Asia Pasifik dan Afrika menyumbang kepada pertumbuhan yang lebih rendah pada Mac,” menurutnya.
Dalam pada itu, IATA menjelaskan, pesanan eksport baharu adalah antara keadaan yang mendasari keadaan ekonomi, ia kekal menyokong kargo udara.
“Selain pesanan eksport, waktu penghantaran barangan buatan juga meningkat walaupun pada kebiasaannya menunjukkan peningkatan permintaan untuk kargo udara dalam usaha mengurangkan tempoh penghantaran.
“Perdagangan global meningkat 0.3 peratus pada Februari, kenaikan bulanan kesembilan berturut-turut dan pertumbuhan secara berterusan dicatatkan dalam tempoh lebih dua dekad, ia juga menyokong permintaan untuk kargo udara,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











