Dilema dan paradoks dalam pemilihan PKR

Dilema dan paradoks dalam pemilihan PKR

PKR perlu kekal menjadi parti yang lahir dari gerakan reformasi untuk menentang nepotisme dan kronisme.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJARAH politik Malaysia penuh dengan ironi. Sejak dari dahulu kita menyaksikan satu demi satu episod yang menggambarkan betapa ‘demokrasi’ boleh ditafsirkan mengikut kehendak pihak berkepentingan.

Di satu pihak mereka bercakap mengenai demokrasi dan kebebasan untuk memilih pemimpin dan di satu sudut lagi tersembunyi agenda untuk mengekalkan kuasa dan status quo.

Terbaharu, PKR dilihat turut terjebak dalam isu ini. PKR yang sejak penubuhannya mengaku sebagai pembawa obor reformasi dan demokrasi, kini berhadapan dengan dilema yang mencerminkan kontradiksi dalam prinsip asasnya.

Walaupun masih lagi dalam bentuk cadangan, tetapi telah ada idea daripada mereka yang dianggap sebagai ‘autoriti” tidak tertulis supaya tiada pertandingan untuk jawatan pemimpin tertinggi.

Bayangkan sebuah pertandingan di mana pemenangnya ditentukan sebelum perlumbaan bermula. Itulah realiti yang sedang kita saksikan dalam hampir semua parti politik di negara ini dan kini dikhuatiri akan turut menular dalam pemilihan PKR.

Cadangan untuk tidak membenarkan pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden bukan sahaja mencemarkan prinsip demokrasi, tetapi juga membuka persoalan tentang kesahihan kepimpinan yang dipilih melalui kaedah sebegini.

‘Demi kestabilan parti’, inilah mantra yang sering diulang-ulang untuk membenarkan penindasan terhadap proses demokratik. Namun, sejak bilakah kestabilan menjadi sinonim dengan ketiadaan pilihan? Adakah kita sudah lupa kekuatan sesebuah organisasi demokratik terletak pada keupayaannya untuk mengurus pertembungan idea dan aspirasi yang berbeza?

KRONISME DAN NEPOTISME
PKR adalah parti yang lahir dari gerakan reformasi untuk menentang nepotisme dan kronisme. Ia adalah sebuah parti reformis yang menjadi contoh sempurna dalam mengamalkan demokrasi yang terbuka.

Untuk mengekalkan imej, ia perlu elak daripada dilihat sebagai kuasa politik yang dimonopoli oleh keluarga atau ‘sahabat’ terdekat.

Walaupun ada jawatan-jawatan penting dalam parti dan kerajaan diagihkan kepada ahli keluarga, tetapi biarlah ia dilakukan melalui proses yang betul melalui amalan demokrasi yang sah dan memastikan jawatan yang diduduki itu diiktiraf dari akar umbi ada kredibiliti.

Jangan sampai rakyat melihat bakat-bakat yang ada dalam kepimpinan parti ini hanya dalam kalangan ahli keluarga sahaja. Nilai demokrasi dalam PKR perlu lebih besar daripada itu kerana ia membawa agenda reformis yang perlu dijadikan contoh kepada semua.

Apa yang lebih membimbangkan adalah bagaimana naratif ‘kestabilan’ dan ‘perpaduan’ dimanipulasi untuk membungkam suara-suara yang kritikal. Setiap kali ada cadangan untuk mencabar status quo, ia dengan pantas dilabel sebagai ‘memecah-belahkan’ parti atau ‘agenda terselindung’.

Sejak bila perbezaan pendapat menjadi pengkhianatan? Sejak bila demokrasi bererti persetujuan tanpa soalan?

IMPLIKASI TERHADAP MASA DEPAN
Trend ini membawa implikasi yang serius terhadap masa hadapan politik Malaysia. Apabila parti yang mengaku sebagai juara demokrasi gagal mengamalkan prinsip asas demokrasi dalam urusan dalamannya, bagaimana ia boleh dipercayai untuk mempertahankan demokrasi di peringkat nasional?

Lebih membimbangkan lagi, amalan ini menetapkan precedence (keutamaan) yang berbahaya untuk parti-parti politik lain. Ia menghantar mesej demokrasi dalaman parti boleh dikorbankan atas nama kestabilan dan nepotisme boleh dibenarkan selagi ia ‘berkesan’.

Generasi muda dalam parti kini berhadapan dengan realiti pahit, tanpa hubungan keluarga yang ‘betul’ atau kesanggupan untuk akur dengan status quo, peluang untuk mencapai kepimpinan tertinggi parti hampir mustahil.

Ini bukan sahaja membunuh bakat-bakat baharu, tetapi juga menghancurkan aspirasi reformasi yang menjadi tunjang penubuhan parti.

Ketiadaan pertandingan bagi jawatan tertinggi parti membawa kepada krisis legitimasi yang serius. Bagaimana pemimpin yang ‘dipilih’ tanpa bertanding boleh mendakwa mereka mempunyai mandat yang sah dari ahli parti?

Lebih kritikal lagi, bagaimana mereka boleh menuntut kredibiliti untuk memimpin reformasi politik negara apabila proses pemilihan mereka sendiri mencerminkan nilai-nilai yang bertentangan dengan reformasi?

ALTERNATIF
Untuk mengembalikan semangat sebenar reformasi dan demokrasi dalam PKR, beberapa langkah kritikal perlu diambil:
– Membenarkan pertandingan terbuka untuk semua jawatan
– Mewujudkan had tempoh perkhidmatan untuk jawatan-jawatan utama
– Menghadkan penglibatan ahli keluarga dalam kepimpinan parti
– Mewujudkan sistem merit yang telus untuk pemilihan pemimpin
– Menggalakkan perbahasan dan kritikan membina dalam parti

PKR kini berada di persimpangan yang kritikal. Parti ini boleh memilih untuk terus mengamalkan politik antidemokrasi yang beralasankan kestabilan atau kembali kepada prinsip-prinsip asas reformasi yang melahirkannya.

Sudah tentu rakyat akar umbi tidak mahu melihat parti yang lahir untuk memperjuangkan reformasi kini memerlukan reformasi.

Mereka juga tentunya tidak rela sejarah menghakimi PKR berdasarkan slogan-slogan kosong tentang reformasi. Sebaliknya mereka mahu melihat kesanggupan parti mengamalkan prinsip-prinsip yang diuar-uarkannya.

Dalam politik Malaysia yang sering dipenuhi dengan paradoks, mungkin inilah yang paling getir iaitu parti yang ditubuhkan untuk membawa perubahan telah menjadi contoh sempurna tentang apa yang sepatutnya diubah.
Jangan sampai reformasi menjadi mangsa kepada kejayaan sendiri.-UTUSAN

DR. Zaharuddin Sani Sabri ialah bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×