PETALING JAYA: Proton S70 mendominasi pasaran automotif Malaysia segmen C dengan 18,880 unit terjual pada tahun lalu, mendahului pesaing sedan terdekatnya sebanyak 8,470 unit.
Proton Holdings Bhd. (Proton) berkata, sedan segmen C yang pertama keluaran Proton selepas lebih 10 tahun ini telah berjaya menjadi peneraju pasaran dalam tahun pertama penjualan penuhnya.
Katanya, S70 yang dilancarkan pada November 2023 ini mencatatkan jualan tertinggi pada Februari 2024, iaitu 2,290 unit.
“Meskipun jualan kereta secara keseluruhannya perlahan pada Januari 2025, berikutan peningkatan ketara di penghujung tahun yang berjaya menaikkan jumlah keseluruhan industri (TIV) kepada rekod tertinggi 816,747 unit, Proton S70 terus mengekalkan momentum lebih 1,000 unit sejak awal 2024, dengan 1,143 unit terjual pada Januari dan 1,197 unit pada Februari.
“Model ini semakin diminati kerana menawarkan pengalaman segmen C pada harga segmen B.
Proton S70 membezakan dirinya dengan enjin turbo 1.5L (150PS, 226Nm) dan transmisi klac dwi tujuh kelajuan, memberikan keseimbangan sempurna kuasa, kecekapan dan keseronokan pemanduan,” katanya dalam kenyataan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslan Abdullah berkata, Proton S70 bukan sekadar bersaing, tetapi turut menerajui jualan sedan segmen C di Malaysia.
“Ia telah mencabar status quo, menawarkan alternatif yang menarik yang beresonansi dengan generasi baharu pembeli kereta Malaysia, membuktikan bahawa nilai, prestasi dan gaya boleh wujud bersama dalam satu pakej yang luar biasa,” katanya.
Tambahnya, ruang dalaman yang luas, ciri keselamatan ADAS yang canggih dan kos pemilikan yang rendah berbanding pesaing Jepun, berjaya menarik perhatian pembeli.
“Ciri-ciri unik ini, ditambah dengan keseimbangan pengendalian yang terkenal dari Proton, telah menjadikan Proton S70 dipilih sebagai kereta yang menandakan kembalinya syarikat tersebut ke perlumbaan Sepang 1000KM pada tahun 2024,” ujarnya.
Proton telah melancarkan promosi Buka Lembaran Baharu pada bulan Mac, menawarkan rebat tunai sehingga RM8,000 kepada pembeli Proton S70.
Pembeli model Flagship X juga akan menerima Aerokit percuma bernilai RM3,130 dan tambahan RM2,000 tersedia untuk sokongan tukar beli, menghasilkan nilai pakej keseluruhan berpotensi sebanyak RM13,000.-UTUSAN










