PETALING JAYA: Skuad Sepak Takraw negara bakal hadapi cabaran beraksi pada sebelah pagi pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2025 di Bihar, India dari 20 hingga 25 Mac ini.
Ketua Jurulatih Sepak Takraw negara, Ahmad Jais Baharum berkata, pemain skuad negara perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi cabaran beraksi di siang hari sepanjang Ramadan.
Katanya, skuad negara yang kini giat menjalani latihan pada bulan ini tetap meneruskan persiapan seperti biasa dengan beberapa penyesuaian dilakukan bagi memastikan pemain dapat menyesuaikan diri dengan cabaran sebenar yang bakal dihadapi di pentas antarabangsa.
“Kita tahu bahawa kejohanan di Bihar nanti tidak mengira waktu, sama ada siang atau malam, jadi pemain perlu cepat membiasakan diri dengan peralihan jadual perlawanan dalam bulan Ramadan ini.
“Dari segi latihan, kita lebih fokus kepada sesi berat pada waktu malam selepas solat tarawih, manakala sesi pagi pula lebih kepada simulasi perlawanan yang menyerupai jadual pertandingan sebenar.
“Latihan bebanan di gimnasium juga masih diteruskan seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Ahmad Jais turut menjelaskan bahawa kejuaraan di Bihar akan menjadi kayu pengukur kepada prestasi skuad kebangsaan, khususnya bagi acara beregu dan kuadran lelaki sebelum menghadapi Piala Asia di Kuala Lumpur pada Mei ini.
“Kejohanan ini amat penting kerana ia bakal menjadi penanda aras buat pasukan kita, lebih-lebih lagi untuk pemain lelaki yang bertanding dalam acara beregu dan kuadran.
“Kami mahu melihat sejauh mana tahap permainan mereka sebelum menyenaraikan barisan terbaik bagi Piala Asia kelak,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau meletakkan sasaran tinggi untuk pasukan negara dengan harapan pasukan lelaki dapat melepasi peringkat kelayakan terlebih dahulu, manakala pasukan wanita pula diharap mampu menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik sebagai syarat layak ke Sukan SEA 2025.
“Kita sedar bahawa cabaran dalam bulan Ramadan pastinya lebih besar, terutamanya dari segi tenaga dan kehausan semasa beraksi di siang hari. Namun, itu bukan alasan bagi pasukan kita untuk tidak memberikan yang terbaik di Bihar nanti,” katanya. – UTUSAN










