PETALING JAYA: Kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja dan majikan perlu dinaikkan untuk meningkatkan jumlah simpanan pencarum.
Pengarah Bersekutu Akademi Nourven, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, sudah tiba masanya kadar caruman KWSP dilihat semula selepas ia diturunkan semasa dunia dilanda Covid-19 dahulu.
“Contohnya caruman pekerja dinaikkan dari 13 hingga 15 peratus dan majikan pula 15 hingga 17 peratus.
“Kadar ini bukan tentang soal adil atau tidak kepada majikan, tetapi mengenai masa depan dan hari tua pekerja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dua tahun lalu, cadangan supaya kadar caruman KWSP bahagian majikan dinaikkan kepada 20 peratus berbanding 13 peratus ketika ini, pernah diusulkan oleh Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) kepada pihak kerajaan.
Kenaikan itu juga dicadangkan selepas laporan akhbar ini iaitu kira-kira 85 peratus rakyat terpaksa bekerja sepanjang hayat bagi menampung keperluan hidup kerana tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk bersara.
Abu Sofian mengakui kenaikan kadar caruman itu boleh mengurangkan pendapatan pekerja, namun, ia wajar dilaksanakan demi masa depan pencarum yang lebih terjamin.
“Buat masa sekarang, ada sahaja Jualan Rahmah yang dibuat oleh kerajaan dari semasa ke semasa. Orang ramai juga perlu mengurangkan perbelanjaan seperti makan di luar, sebaliknya masak di rumah dan bawa bekal ke tempat kerja,” katanya.
Katanya, majikan perlu menyemak semula kos operasi yang boleh dijimatkan dan penjimatan itu boleh disalurkan semula dalam bentuk caruman kepada pekerja.
“Contohnya pengurangan bayaran elektrik seperti menggunakan unit pendingin hawa jenis split berbanding penggunaan sistem penyaman udara pusat. Selain itu, mengurangkan perbelanjaan eksekutif seperti perjalanan dan penginapan sedangkan mesyuarat boleh dibuat secara dalam talian,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program MBA di Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kenaikan kadar caruman tersebut boleh dijadikan sebagai ganjaran kepada pekerja cemerlang dan produktif yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan syarikat.
“Dengan cara ini, ia tidak akan membebankan majikan. Kadar kenaikan yang dicadangkan perlulah berlandaskan jumlah minimum yang dibenarkan,” katanya.
Selain itu, beliau menambah, strategi lain untuk meningkatkan jumlah simpanan KWSP adalah dengan meningkatkan produktiviti kerja, supaya pekerja berpeluang dinaikkan pangkat atau memperoleh gaji lebih tinggi atau mencari pekerjaan lain dengan gaji yang lebih baik.
“Pencarum juga dinasihat supaya tidak mengeluarkan wang dari akaun sejahtera dan akaun fleksibel, serta disarankan agar mereka menambah caruman KWSP secara sukarela setiap tahun.
“Bagi mereka yang berminat melabur, boleh membuat pelaburan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau menyimpan di Tabung Haji,” katanya. – UTUSAN










