PETALING JAYA: Pensijilan halal melonjakkan keyakinan pengguna terhadap produk makanan Korea, Got Kimchi setelah memperolehnya pada 2023 daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Pengasas dan Pengarah Urusan, Got Kimchi Enterprise, Norziana Mohamad Azmi berkata, usaha itu adalah langkah strategik untuk mengukuhkan jenamanya sebagai peneraju produk makanan Korea halal di Malaysia.
“Sejak syarikat kami mendapat pensijilan halal, penerimaan pengguna terhadap produk Got Kimchi meningkat secara ketara kerana menjadi penanda aras kualiti dan kebersihan produk makanan jenama ini.
“Sebelum ini, ramai yang meragui status halal Got Kimchi kerana nama jenama dan wajah saya yang tidak kelihatan seperti seorang yang beragama Islam. Malah, ada yang bertanya sama ada saya benar-benar Islam.
“Namun, selepas memperoleh sijil halal Jakim, saya tidak lagi perlu menjelaskan secara panjang lebar. Logo halal itu sendiri sudah cukup untuk meyakinkan pengguna bahawa produk kami menepati piawaian yang ditetapkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Norziana, sijil halal bukan sahaja memberi keyakinan kepada pelanggan, malah membuka lebih banyak pintu peluang perniagaan.
“Sebelum ini, Got Kimchi hanya dijual dalam talian menerusi platform TikTok dan Shopee, tetapi selepas mendapat sijil halal, kami berjaya menembusi pasaran fizikal di AEON Mall dan St Rosyam Mart.
“Hampir semua pasar raya besar mensyaratkan sijil halal untuk membawa masuk sesuatu produk.
“Oleh itu, pensijilan ini adalah langkah penting untuk memastikan produk kami boleh berada di setiap pasar raya utama dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya.
Tambahnya, proses mendapatkan sijil halal tidaklah serumit yang disangka, malah pihak berkuasa seperti Jakim, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) banyak membantu.
“Dengan pensijilan halal, Got Kimchi bukan sahaja dapat menembusi pasaran yang lebih luas, malah terus komited dalam menyediakan produk berkualiti yang menepati standard kebersihan dan pemprosesan makanan yang ketat.
“Saya berharap lebih ramai usahawan bumiputera menyedari kepentingan pensijilan halal. Ketika ini, hanya 20 peratus peniaga bumiputera memilikinya, sedangkan 80 peratus sijil halal dipegang oleh syarikat bukan bumiputera,” ujarnya.-UTUSAN










