Tempat letak kereta terhad, penduduk sudah lali disaman

Tempat letak kereta terhad, penduduk sudah lali disaman

KAWASAN tempat letak kereta yang terhad menyebabkan kereta parkir di depan kereta lain.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TATKALA rakyat negara ini berdepan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, ada sesetengah mereka juga berdepan masalah lain seperti saman dan kenderaan rosak yang berpunca daripada masalah kekurangan tempat letak kereta. 

Jika meninjau di sekitar kawasan perumahan yang padat seperti Bandar Sri Permaisuri, Lembah Pantai dan Setapak, pasti anda dapat melihat banyak kereta yang diletakkan di bahu jalan berikutan tempat letak kereta yang tidak mencukupi di kawasan perumahan mereka.

Seorang rakan sekutu kanan, Norsadrina Ismail, 35, berkata, masalah tempat letak kereta terhad adalah masalah utama rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2 di Petaling Jaya sehingga ramai yang terpaksa ‘double park’ kenderaan lain.

Katanya, masalah untuk mendapat ruang kosong ditambah lagi jika pulang lewat melebihi pukul 10 malam dan banyak kereta akan ‘double park’ kereta lain kerana tidak mempunyai pilihan.

“Saya sendiri pernah terpaksa menolak empat buah kereta pada waktu pagi untuk keluar dari tempat letak kereta dan pergi ke tempat kerja.

“Jika meletak kereta di bahu jalan pula, penduduk akan disaman oleh polis. Setakat ini saya sudah dua kali kena bayar saman polis yang bernilai RM200. Setiap kali pulang lewat, saya memang terpaksa letak kereta di bahu jalan sehingga sudah lali disaman,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Norsadrina berkata, selalunya ramai meletak kereta di bahu jalan bermula pada pukul 6 petang ke atas dan memang jalan menjadi agak sesak ketika waktu puncak, tetapi penghuni rumah tidak mempunyai pilihan yang lain.

Dia berkata, walaupun berdepan dengan kesukaran tersebut, dia masih memilih untuk tinggal di kawasan itu kerana lokasinya yang dekat dengan tempat kerja.

“Kalau kereta yang ‘double park’ saya tengok ada plat kereta yang pecah dan ada kereta yang berlanggar disebabkan kereta ditolak begitu rapat,” ujarnya.

Norsadrina mencadangan kepada pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk berbincangan dengan wakil penduduk agar kenderaan rosak dan tidak digunakan boleh dialihkan kerana mengambil ruang di tempat meletak kereta. 

“Selain itu, mungkin dapat hadkan dua kereta untuk satu unit rumah sahaja. Selain itu, boleh juga menyediakan ruang tempat letak kereta tambahan berbayar untuk sesiapa yang berminat di lokasi yang sesuai,” ujarnya.

Selain itu, dia juga berharap pihak berkuasa memberi sedikit kelonggaran dan bertimbang rasa dari segi saman kerana penduduk berdepan masalah tempat letak kereta yang terhad dan terpaksa meletak kereta di bahu jalan.

Sementara itu, pekerja swasta, Hayatun Razak, 33, berkata, dia yang tinggal di Bandar Sri Permaisuri selama enam tahun menyaksikan masalah kekurangan tempat letak kereta di kawasan tersebut.

Katanya, ramai yang meletak kenderaan mereka di bahu jalan, mendorong kepada jalan menjadi sempit dan sesak bukan sahaja bila waktu puncak tetapi juga bukan waktu puncak. 

“Seringkali saya melihat ada kerana yang diletakkan di bahu jalan kemik. Ini kemungkinan besar kereta tersebut dilanggar kerana jalan menjadi sempit,” katanya.

Dia berharap pihak berkaitan dapat menambah kemudahan tempat letak kereta bertingkat ini di kawasan yang dianggap sesuai bagi menampung keperluan penduduk kerana kepadatan yang tinggi.

“Selain itu, boleh mewujudkan kawasan tempat letak kereta khas di luar kawasan perumahan dengan kemudahan pengangkutan awam yang efisien untuk mengurangkan kesesakan dalam kawasan tersebut.

“Menetapkan syarat kepada pemaju  supaya menyediakan lebih banyak tempat letak kenderaan dalam projek pembangunan baharu untuk mengelakkan masalah kekurangan ini berulang pada masa hadapan,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×