PETALING JAYA: Misi memburu kejuaraan berprestij Seluruh England bermula buat beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang bakal diuji oleh pasangan Korea Selatan, Kim Gi Jung-Kim Sa Rang, dalam pusingan pembukaan, Selasa depan.
Biarpun lawan mereka hanya berada di ranking ke-62 dunia, pasangan No. 2 dunia itu berkata, mereka tidak akan sesekali mengambil mudah cabaran kerana setiap perlawanan adalah medan pertempuran yang tidak boleh dipandang ringan.
Selepas kembali berganding dua tahun lalu, Sze Fei-Izzuddin membuktikan mereka masih berbisa dengan menjuarai Terbuka India, kejayaan yang melonjakkan mereka ke ranking kedua dunia serta mengukuhkan status sebagai pencabar utama kejuaraan.
Lebih daripada itu, mereka mahu menamatkan penantian Malaysia selama 18 tahun untuk melihat wakil negara kembali menjulang trofi Seluruh England, yang kali terakhir dimenangi oleh Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada 2007.
“Mereka (Kien Keat-Boon Heong) memang legenda bagi kami, dan kami mahu ikut jejak langkah mereka,” kata Sze Fei.
Mengakui laluan ke pentas akhir bukan mudah, Sze Fei mendedahkan bahawa mereka dan barisan kejurulatihan sudah menganalisis setiap aspek permainan lawan bagi merangka strategi terbaik.
“Kami akan berbincang dengan jurulatih mengenai taktikal terbaik yang boleh digunakan, kerana setiap perlawanan sangat penting,” katanya.
Kejohanan Seluruh England dijadual berlangsung dari 11 hingga 16 Mac ini menyaksikan Malaysia mempunyai enam pasangan yang mana tiga daripadanya daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Arif Junaidi-Yap Roy King.
Tiga lagi adalah wakil profesional iaitu Sze Fei-Izzuddin, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong. – UTUSAN











