Penghidap diabetes perlu kenali tanda bahaya ketika berpuasa

Penghidap diabetes perlu kenali tanda bahaya ketika berpuasa

diabetes
Bagi pesakit diabetes, puasa boleh menjadi berisiko disebabkan keadaan insulin kurang sensitif dan insulin defisit dalam badan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Secara umumnya, kesan berpuasa mempunyai pengaruh yang baik daripada beberapa aspek fisiologi badan manusia terutamanya ketika Ramadan.

Antara perubahan fisiologi badan yang berlaku adalah peningkatan sensitiviti insulin yang menyebabkan kawalan homeostasis (proses automatik tubuh) gula yang baik dan meningkatkan pembakaran lemak berlebihan.

Namun begitu bagi pesakit diabetes, puasa boleh menjadi berisiko disebabkan keadaan insulin kurang sensitif dan insulin defisit dalam badan. Keadaan ini boleh menyebabkan pengeluaran gula berlebihan daripada sel otot dan hati serta peningkatan metabolisme lemak berlebihan yang meningkatkan keadaan berasid dalam badan.

Naib Presiden I-Medik dan Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Mahmoodiah, Dr. Ahmad Muslim Ahmad Roslan berkata, pesakit diabetes berisiko untuk mengalami keadaan hipoglisemia, hiperglisemia, dehidrasi, diabetik ketoasidosis serta darah tersumbat terutama bagi mereka yang mempunyai kawalan gula yang teruk.

“Justeru pada bulan Ramadan, terdapat sedikit perubahan cara pemakanan ubat diabetes dan suntikan insulin, bergantung kepada jenis ubat atau insulin disebabkan perubahan waktu makan dan puasa.

“Bagi ubat dari jenis Sulfonyureas seperti Gliclazide, disarankan diambil selepas berbuka puasa disebabkan risiko hipoglisemia yang ada pada ubat itu. Begitu juga bagi ubat jenis SGLT-2 inhibitor seperti empaglifozin, disarankan untuk diambil selepas waktu berbuka bagi mengurangkan risiko dehidrasi ketika berpuasa, “ terangnya.

Katanya bagi suntikan insulin, ia bergantung kepada bilangan suntikan insulin yang diperlukan oleh pesakit diabetes sebelum Ramadan.

Secara umumnya, tiada suntikan insulin ketika berpuasa dan insulin pada waktu sahur mungkin perlu dikurangkan 15 sehingga 50 peratus, bergantung kepada jenis insulin dan kawalan gula pesakit.

Katanya lagi, pesakit diabetes juga dinasihatkan untuk mendapatkan penilaian daripada doktor untuk mendapatkan nasihat tatacara pengambilan ubat dan insulin yang lebih spesifik ketika Ramadan.

Pastikan tahap gula dalam darah terkawal

Bagi memastikan tahap gula di dalam darah terkawal, pesakit perlu mengambil makanan seimbang daripada sudut kuantiti dan jenis makanan yang merangkumi semua makronutrien ketika berbuka dan sahur.

“Elakkan pengambilan makanan tinggi kandungan gula dan karbohirat secara berlebihan. Pastikan minum air secukupnya. Pesakit juga perlu memantau tahap gula melalui alat glukometer dengan lebih kerap.

“Pengambilan ubat atau suntikan insulin perlu mengikut preskripsi doktor selepas penilaian dan perlarasan dibuat sebelum pesakit berpuasa. Lakukan aktiviti fizikal secara sederhana yang berkala terutamanya selepas berbuka seperti solat berjemaah Maghrib, Isyak dan tarawih,” katanya.

Terangnya, pesakit diabetes sangat disarankan mengambil makanan yang seimbang kandungan makronutrient dengan pembahagian sebanyak 40 hingga 50 peratus karbohidrat, 20 hingga 30 peratus protein dan 30 hingga 35 peratus lemak sihat.

Secara praktikalnya dalam pinggan perlu ada ¼ makanan jenis karbohidrat seperti nasi, mi, bihun atau roti, ¼ makanan jenis protein seperti ayam, ikan, kekacang atau daging serta ½ makanan berserat seperti sayuran.

“Pilihlah jenis karbohidrat yang rendah GI (glycaemic indeks), tinggi fiber (serat) dan kompleks seperti nasi beras perang, basmathi, roti gandum penuh, ubi keledek, ubi kayu, kacang dal, kacang hijau, kurma dan labu kuning.

“Elakkan atau kurangkan makanan tinggi gula dan karbohidrat seperti kuih-muih, pulut dan makanan bergoreng. Makanan sahur perlu mempunyai kandungan protein dan lemak sihat yang cukup bagi memberi tenaga yang berpanjangan dan kurang rasa lapar ketika sedang berpuasa,” katanya.

Antara contoh makanan yang tinggi protein seperti ikan tenggiri, ayam tanpa kulit, telur rebus, kacang kuda, kacang dal, tempeh dan tauhu manakala contoh makanan yang tinggi lemak sihat seperti minyak zaitun, avokado dan kekacang.

Komplikasi ketika berpuasa

Dr. Ahmad Muslim berkata, secara umumnya pesakit diabetes jenis 1 mempunyai risiko untuk mendapat komplikasi seperti hipoglisemia, hiperglisemia, diabetik keoasidosis dan dehidrasi disebabkan keadaan kekurangan insulin dalam badan.

Namun risiko ini boleh menjadi rendah sekiranya mereka mempunyai kawalan gula yang baik, tiada sejarah hipoglisemia sebelum ini, mempunyai kesedaran tanda hipoglisemia yang tinggi, penggunaan insulin yang stabil serta melakukan pemantuan gula secara berkala.

“Hipoglisemia berlaku apabila paras gula darah turun di bawah 3.9 mmol/L. Ia boleh berlaku jika seseorang berpuasa terlalu lama, mengambil ubat atau insulin tanpa pelarasan, atau tidak makan dengan cukup sewaktu sahur.

“Tanda-tanda awal hipoglisemia adalah berpeluh sejuk, tangan menggeletar, berasa sangat lapar, degupan jantung laju, pening, berasa terlalu penat, hilang fokus, cepat marah dan kabur pandangan, “ katanya.

Ketika berpuasa, pesakit diabetes disarankan memantau tahap gula dengan lebih kerap, secara idealnya enam kali atau lebih dalam masa sehari. Waktu yang disarankan untuk memeriksa tahap gula adalah sebelum bersahur, dua jam selepas bersahur, tengah hari, waktu petang, sebelum berbuka, 2 jam selepas berbuka dan bila-bila ketika terdapat tanda-tanda hipoglisemia atau hiperglisemia.

Pesakit diabetes disarankan tidak berpuasa sekiranya berada dalam keadaan berisiko tinggi antaranya mempunyai tahap gula yang tidak terkawal, mempunyai sejarah hipoglisemia yang teruk dan mempunyai sejarah diabetes ketoasidosis yang kerap.

“Risiko lain yang menghalang pesakit berpuasa seperti menghidapi kesedaran hipoglisemia yang rendah dan mempunyai penyakit-penyakit kronik lain yang tidak terkawal seperti darah tinggi, penyakit buah pinggang kronik atau jantung lemah.

“Sekiranya pesakit diabetes yang sedang berpuasa mendapati bacaan gula pada mesin glukometer adalah rendah, sebagai contoh, kurang 3.9mmol/l atau tinggi melebihi 16.6 mmol/l, disarankan untuk berbuka disebabkan risiko kesihatan yang tinggi,” katanya.

Pesakit Diabetes yang ingin berpuasa di bulan ini perlu menjalani penilaian risiko dan pendidikan pra Ramadan oleh doktor sebelum berpuasa kerana ini akan menentukan risiko berpuasa bagi pesakit diabetes sama ada rendah, sederhana atau tinggi. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×