FENOMENA cuaca panas melampau disebabkan angin Monsun Barat Daya yang melanda negara sejak awal tahun sehingga pertengahan Mac lalu bukan sahaja memberi tekanan fizikal kepada tubuh manusia tetapi turut memberi impak kepada alam sekitar termasuk peningkatan kejadian kebakaran lalang dan belukar.
Kes-kes kebakaran dikendalikan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga menunjukkan peningkatan ketara 500 peratus dengan sebanyak 928 kes kebakaran belukar dan lalang direkodkan pada Januari, manakala 5.354 kebakaran terbuka dilaporkan berlaku di seluruh negara pada Februari.
Melaka turut mencatatkan bilangan kes kebakaran tinggi sehingga ratusan kes dalam tempoh tersebut.
Pengarah JBPM Melaka, Abu Obaidat Mohamad berkata, sepanjang tempoh tersebut pasukannya menerima sebanyak 649 panggilan kecemasan membabitkan kebakaran belukar dan lalang.

“Sepanjang Januari sehingga 17 April lalu, selain belukar, kita juga merekodkan 30 panggilan kes kebakaran kebun dan ladang manakala sampah dan hutan masing-masing merekodkan 53 dan tiga kes.
“Mengikut pecahan, sebanyak 466 kes berlaku di daerah Melaka Tengah, manakala 116 di Alor Gajah dan Jasin merekodkan 98 kes,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, insiden terbesar yang dikendalikan pasukannya melibatkan kebakaran belukar di ladang sawit di Kampung Bukit Durian, Umbai berkeluasan 16 hektar pada 25 Mac lalu.
Jelasnya, kerja-kerja pemadaman itu dilakukan dengan kekuatan 36 anggota yang ‘bertarung’ selama lebih 96 jam disebabkan kawasan tersebut jenis tanah gambut.
“Operasi pemadaman belukar terutama tanah gambut ini adalah satu cabaran berbentuk fizikal dan mental kepada pasukan bomba kerana ia memakan masa serta tenaga.
“Memang kita nampak api telah padam di permukaan, namun sebenarnya di bahagian bawah masih mempunyai haba dan api.
“Bila-bila masa sahaja kebakaran boleh tercetus semula dan merebak ke kawasan lain sekiranya ia tidak dipadamkan sepenuhnya,” katanya.
CABARAN DAPATKAN SUMBER AIR
Selain itu, Abu Obaidat berkata, cabaran-cabaran lain yang terpaksa dihadapi adalah daripada segi mendapatkan sumber air, arah angin, membuat pemisah (break) lokasi kebakaran, logistik dan menentukan lokasi atau radius sebenar kebakaran.
Katanya, dalam kes di Kampung Bukit Durian misalnya, pasukan berdepan dengan kekangan sumber air di lokasi. Walaupun lokasi kejadian berdekatan dengan tali air, namun kedalamannya tidak mencukupi untuk pasukan mengepam air tersebut.
“Jadi, apa yang kita lakukan adalah meminta bantuan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menambahkan kedalaman tali air sehingga mencecah 0.9 meter supaya air memenuhi kawasan tersebut dan boleh dipam.
“Disebabkan cuaca terlalu panas dan faktor angin kuat, pasukan kita juga perlu memadamkan kebakaran secepat yang mungkin bagi mengelak kejadian ‘api lompat’ yang berisiko berlaku dan menyebabkan api merebak ke kawasan lain,” jelasnya.

Ujarnya, daripada keseluruhan kes, kira-kira 90 peratus merupakan insiden disebabkan oleh faktor manusia seperti melakukan pembakaran secara terbuka.
“Hasil siasatan, kebanyakan kes berpunca daripada aktiviti pembakaran terbuka sama ada membakar sampah atau kesan tindakan individu yang mempunyai kepentingan tertentu sebagai contoh ingin ‘menerangkan’ kawasan ladang mereka.
“Justeru, kita sering kali mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah kepunyaan mereka dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.
“Orang ramai juga diminta bekerjasama dengan pihak bomba untuk membuat tindakan awal memadam kebakaran-kebakaran kecil.
“Selain itu melaporkan kes-kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di talian 999,” katanya.











