KUALA TERENGGANU: Seramai 150 kanak menyertai program berbuka puasa dan tarawih di Pondok Ngaji Abu Bakrin di Kampung Kebor Air, Manir, di sini, pada Ramadan kali ini.
Pemilik pondok agama itu, Mohd. Hanafiah Abu Bakar, 50, berkata, program yang disertai kanak-kanak berusia tujuh hingga 15 tahun itu menerapkan disiplin, pendidikan agama dan nilai-nilai mulia pada bulan Ramadan.
Beliau memperkenalkan program tersebut sejak enam tahun lalu dan semakin mendapat sambutan.
“Dengan yuran sebanyak RM30 sebulan, kanak-kanak berkenaan bukan sahaja berbuka puasa di pondok ini, malah mereka diajar mengaji dan solat, fardu ain dan kelas taranum sepanjang Ramadan ini.
“Kanak-kanak itu turut didedahkan dengan aktiviti riadah pada hujung minggu termasuk menyantuni keluarga susah dan menziarah orang sakit di sekitar kampung,” katanya ketika ditemui di Kampung Kebor Air, Manir, di sini, semalam.
Mohd. Hanafiah berkata, kanak-kanak tersebut akan hadir di pondok itu bermula pukul 6 petang dan pulang ke rumah masing-masing selepas solat sunat tarawih.
Katanya, setakat ini, peserta program tersebut terdiri daripada kanak-kanak di sekitar Kampung Kebor Air dan mereka berulang-alik ke pondok berkenaan setiap hari.
“Walaupun terdapat permintaan daripada penduduk luar yang mahu menghantar anak mereka menyertai program ini tetapi kami belum bersedia lagi,” katanya.
Menurutnya, sebahagian perbelanjaan bagi menyediakan juadah berbuka puasa adalah hasil sumbangan ibu bapa kanak-kanak terlibat dan penduduk setempat. – UTUSAN











