Terdapat beberapa kes berkaitan transgender yang mahu penukaran jantina mereka diiktiraf oleh undang-undang. Maksudnya, jika dia seorang lelaki dan telah ‘memodifikasikan’ alat kelaminnya kepada wanita maka dia mahu jantina di dalam kad pengenalan ditukar kepada wanita.
Untuk menjadikan perkara itu realiti mereka perlu ke mahkamah dan menamakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai defendan. Ini kerana kad pengenalan kita semua adalah dikeluarkan oleh JPN.
Dalam kes Kristie Chan lawan Ketua Pengarah JPN (2012), pihak perayu merayu kepada pesuruhjaya kehakiman mahkamah tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan perintah berikut:
Satu perintah deklarasi bahawa plaintif telah menjalankan pembedahan untuk mengubah jantina dan diisytiharkan sebagai perempuan.
Responden/defendan diperintahkan menukarkan maklumat perayu/plaintif di bahagian jantina pada kad pengenalannya dari lelaki kepada perempuan.
Kos permohonan ini ditanggung oleh responden/defendan.
Mahkamah rayuan menolak rayuan tersebut diperenggan (24) dan dalam penghakimannya menyatakan, “Ini membawa kepada pemerhatian kami bahawa tiada keterangan, pakar perubatan dan pakar psikiatri Malaysia”.
Perenggan (25) menyatakan “Tugas sistem pendaftaran pengenalan, adalah secara jelasnya untuk mendaftarkan diskripsi jantina sebenar seseorang. Niat itu akan gagal jika diskripsi jantina diubah untuk membolehkan mendapatkan pekerjaan, kerja, melancong, belajar dan isu-isu peribadi yang lain”.
Suka saya memetik alasan penghakiman dari Suruhanjaya Kehakiman yang menolak permohonan perayu yang antara lainnya menyatakan “perayu dilahirkan sebagai lelaki dan diberi nama Chan Wang Fei seperti yang tercatat di dalam sijil kelahirannya, tiada kesilapan identiti yang membolehkan pembetulan dibuat. Seterusnya yang bijaksana Suruhanjaya Kehakiman menyatakan seperti berikut :-
“Dikhuatiri golongan senasib dengan pemohon akan menuntut segala hak mereka di bawah undang-undang dan Perlembagaan dalam menjalani kehidupan seharian termasuklah hak pekerjaan, hak perkahwinan, kepusakaan dan lain-lain aspek kehidupan. Akan berlaku ketidaktentuan keadaan dalam status jantina terkini, situasi yang mengundang suatu impak yang besar dalam masyarakat dan pentadbiran negara sama ada secara langusng mahupun tidak langsung.
Sebab itulah saya tidak bersedia untuk membenarkan permohononan ini kerana ia bukan sahaja dalam ketiadaan undang-undang yang mentadbir situasi ini tetapi dilihatkan lebih mirip kepada perkara polisi yang harus dilihat oleh kerajaan dan mungkin juga oleh Parlimen dan bukan melalui penyelesaian sementara secara mudah melalui mahkamah”.
Apa yang dinyatakan di dalam kes ini adalah sangat-sangat terpuji dan pada pandangan saya sewajarnya mengikat kesemua mahkamah-mahkamah di Malaysia.
Walau bagaimanapun dalam kes Tan Pooi Yee lawan Ketua Pengarah JPN (2016) berlaku sebaliknya apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan penukaran jantina di dalam kad pengenalan plaintif dengan antara lainnya menyatakan seperti berikut :-
Pada fakta dan keadaan plaintif dilahirkan perempuan dan membesar, berkelakuan serta hidup sebagai seorang lelaki dan melalui pembedahan pertukaran jantina dan telah memperoleh pengesahan daripada profesion perubatan dia adalah lelaki, telah dalam pandangan mahkamah memuaskan ambang atau kriteria yang dinyatakan dalam kes Kristie Chan lwn Ketua Pengarah JPN (2012) untuk permohonan dibenarkan.
Itu semua bergantung kepada kualiti dan keyakinan keterangan perubatan, psikiatrik dan fakta matriks yang dikemukakan ke mahkamah sebagai permohonan untuk pengisytiharan harus ada sebab yang tulen.
Permohonan plaintif adalah tulen oleh seseorang yang telah disahkan profesion perubatan sebagai lelaki secara fizikal, anatomi dan psikologi. Yang tinggal hanya proses undang-undang untuk mengisytiharkan dia adalah lelaki. Satu pengisytiharan untuk mengakui pertukaran jantina plaintif akan menyumbang kepada kepastian dan mencegah kekeliruan dan kemungkinan juga konflik.
Plaintif mempunyai hak perlembagaan untuk hidup di bawah perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan dan konsep ‘hidup’ di bawahnya semestinya merangkumi hak plaintif untuk hidup dengan maruah sebagai seorang lelaki dan secara sah diberi pengiktirafan kehakiman sebagai seorang lelaki.
Tiada halangan atau sekatan undang-undang dengan pemberian dan pengisytiharan untuk mengiktiraf plaintif secara sah sebagai seorang lelaki dan untuk kad pengenalannya ditukar bagi mencerminkan pertukaran dalam jantina supaya dapat hidup sebagai seorang lelaki dan diterima oleh masyarakat.
Tidak syak lagi teologi tertentu atau lain-lain mungkin mengutuk pengiktirafan kurial seperti gangguan dengan jantina seseorang itu ditentukan secara semula jadi memegang pandangan jantina yang ditentukan pada kelahiran adalah fosil dan tidak mampu mengubah atau menukar semula.
Mahkamah rayuan dalam kes Kristie Chan bukan sahaja tidak meletakkan apa-apa kaedah yang tidak fleksibel bahawa pemohon memohon pengisytiharan untuk perubahan jantina akibat pembedahan pertukaran jantina mesti dibuktikan antara lain keperluan kromosom.
Keperluan kromosom adalah kuno dan perlu diabaikan kerana secara saintifik mustahil untuk lelaki biologi mempunyai kromosom perempuan dan sebaliknya. Kromosom lelaki XY dan perempuan akan kekal statik sepanjang hidup. Maka, ia adalah naif untuk mencadangkan pemohon perlu menunjukkan dia lelaki atau perempuan mempunyai kromosom jantina yang ditukarkan.
Diperenggan (74) kes tersebut Yang Arif Hakim telah mengeluarkan perintah berikut :-
Satu pengisytiharan bahawa plaintif, yang telah menjalani pembedahan penukaran jantina, diisytiharkan sebagai seorang lelaki.
Defendan diarahkan untuk menukar kad pengenalan plaintif kepada Tan Yien How.
Defendan diarahkan untuk menukar digit terakhir kad pengenalan plaintif kepada digit yang mencerminkan jantina utama.
Tiada perintah berkenaan kos.
Apa yang menariknya Yang Arif Hakim, juga seolah-olah mengakui kromosom di dalam tubuh orang yang menjalani pembedahan jantina tidak boleh berubah. Ini bererti jika dia secara semula jadinya lelaki walaupun menjalani pembedahan jantina dia adalah tetap seorang lelaki.
Umat Islam di Malaysia perlu memberi perhatian serius kepada perkara ini kerana di bawah Perlembagaan Persekutuan Islam adalah agama rasmi. Walaupun kebebasan individu itu dijamin oleh Perlembagaan ia juga perlu disandarkan kepada prinsip-prinsip keagamaan dan moral. – UTUSAN
PENULIS ialah bekas Peguam Syarie di Brunei selama 24 tahun.










