AS sudah hilang sabar dengan Ukraine

AS sudah hilang sabar dengan Ukraine

PERTELAGAHAN Donald Trump dengan Volodymyr Zelensky semakin memuncak. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran beliau ‘tidak mahu bersabar lagi’ dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mengenai pendiriannya terhadap perang dengan Russia.

Dalam siri perbalahan terbaharu antara kedua-dua pemimpin tersebut, Trump menyifatkan kenyataan Zelensky mengenai perang Russia dengan Ukraine sebagai ‘kenyataan pa­ling teruk pernah dibuat oleh seorang pemimpin’.

“Amerika tidak akan bersabar lagi dengan semua ini,” tegas Trump menerusi akaun media sosialnya.

Reaksi itu dibuat selepas Zelensky menuduh Russia tidak serius untuk melakukan rundingan damai, sekali gus menamatkan perang yang berlaku sejak 2014.

Zelensky turut memberi amaran bahawa jaminan keselamatan yang kuat merupakan satu-satunya cara untuk menamatkan perang berkenaan.

Sebagai reaksi, Trump kemudiannya menyatakan Zelensky ‘mungkin tidak akan bertahan lama’ tanpa gencatan senjata dengan Russia.

Katanya, Zelensky sepatutnya menghargai ke­semua bantuan yang di­salurkan kepada Ukraine sepanjang pe­rang tercetus.

HENTI BANTUAN KETENTERAAN

Rumah Putih me­ngumumkan Wa­shing­ton akan meng­hentikan bantuan ketenteraan kepada Ukraine.

Penggantungan bantuan itu akan dilakukan sehingga Trump dapat memastikan sama ada Volodymyr mempunyai komitmen untuk menamatkan perang atau sebaliknya.

“Ini bukan penggantungan tetap, hanya sementara,” menurut Rumah Putih kepada Fox News.

Penggantungan itu menyak­sikan semua peralatan keten­teraan termasuk kenderaan perang dan senjata tidak akan dihantar ke Ukraine atau Poland.

SOKONGAN EROPAH

“Saya rasa ada pihak yang benar-benar tidak mahu berun­ding dan jika dia enggan berbuat demikian, saya rasa dia mungkin tidak akan bertahan lama,” ujar Trump.

Susulan rundingan pada hujung minggu lalu di London, Britain dan Perancis mencadangkan gencatan senjata selama sebulan antara Ukraine dan Russia.

Namun, Zelensky menyatakan ­rundingan itu masih terlalu awal dan menyifatkan usaha untuk menamatkan perang tersebut masih ‘sukar dan terlalu jauh’.

Beliau berulang kali menyatakan situasi hanya akan benar-benar tenang dan selamat sekiranya Ukraine menerima jaminan keselamatan dari AS.

Dalam pada itu, Russia menafikan dakwaan Zelensky bahawa negara itu enggan melakukan rundingan damai.

REAKSI RUSSIA

Di Moscow, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov menuduh Zelensky sengaja mencetuskan kekecohan, selain tidak mempunyai ‘keupayaan diplomatik’.

“Zelensky yang tidak mahu perang itu berakhir tetapi menuduh Russia yang enggan melakukan rundingan damai.

“Melihat situasi yang berlaku ketika ini, siapa sebenarnya yang enggan melakukan rundingan damai?,” soal Peskov.

Russia dan AS sebelum ini sudah beberapa kali bercadang untuk melakukan rundingan damai, namun tidak disenangi Ukraine dan negara Eropah yang lain.

Malah, Zelensky mempersoalkan kepada Trump adakah Presiden Russia, Vladimir Putin boleh dipercayai untuk menamatkan perang tersebut.

TRUMP SENGAJA BESARKAN ISU?

Presiden AS itu sebelum ini pernah menggelar Zelensky sebagai diktator kerana tidak melakukan pilihan raya biarpun perkara itu mendapat pengecualian akibat perang yang tercetus.

Zelensky malah menolak gesaan Trump supaya mele­takkan jawatan dan sekali lagi menegaskan beliau hanya berbuat demikian sekiranya Ukraine diberi keanggotaan dalam Perjanji­an Atlantik Utara (NATO).

Canselor Jerman, Friedrich Merz pula menyifatkan konflik yang berlaku antara Trump dan Zelensky adalah isu yang sengaja dibesar-besarkan oleh Presiden AS berkenaan.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron memberitahu media tempatan bahawa gencatan senjata tidak akan menghentikan serangan darat antara Ukraine dan Russia.

Katanya, tentera kedua-dua negara sudah ‘terlalu jauh tersasar’ sehingga sukar untuk menghentikan pertempuran.

Perdana Menteri Britain, Keir Starmer menyifatkan AS sebagai ‘sekutu yang tidak boleh diharapkan’ berikutan Trump yang dilihat seperti menyokong Putin. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×