Kampung Rumbia, Jumaat – 4 Pagi
Langit seperti buntut kuali, hitam dan pekat. Kelam. Tiada cahaya bulan pun menyelinap dari celah awan yang gempal dan tumpah ke lantai alam. Hanya celoteh cengkerik yang hingar namun dibisukan telinga orang kampung yang sudah lali dengan pekikan serangga itu.
Jarum jam mematahkan lehernya dan lentuk di angka empat. Tok Mat selesai memberi salam di atas sejadah bercorak ukiran bangunan di tanah arab sambil diikuti pergerakan oleh Nek Limah, isteri Tok Mat yang sudah 40 tahun hidup bersamanya.
“Assalamualaikum, Tok Mat.” Ucapan salam dan bunyi ketukan pintu menyusup ke bilik utama rumah kayu bertangga batu, rumah tradisional negeri Melaka.
Makin lama makin kuat. Tok Mat memandang Nek Limah lalu mengangkat punggungnya dari lembut tikar sejadah. Nek Limah hanya memerhatikan pergerakan suaminya sambil tangan laju melipat sejadah. Lelaki tua itu menuju ke suis utama lalu mengetik suis lampu ruang tamu dan beranda. Perlahan tangannya meraba engsel pintu.
“Waalaikummusalam, haa, kau Awie. Ada hal apa datang pagi-pagi buta ni?” Soal Tok Mat, lelaki yang sudah melepasi umur pencen wajib jika dia berkhidmat sebagai kaki tangan kerajaan.
Mukanya yang berkedut di dagu serta pipi yang cengkung menimbulkan kehairanan.
“Macam ini Tok Mat, ada kematian, orang kampung kita. Tok Imam minta saya maklumkan pada Tok Mat, mintak Tok Mat uruskan kubur bersama orang kampung,” ujar Awie sedikit terketar-ketar. Mungkin kulitnya dingin dicium angin jam empat pagi.
Tok Mat terdiam. Wajahnya diselubungi perasaan terkejut.
“Awie, siapa yang meninggal dunia?” Soal Tok Mat beria-ia.
“Nasir, anak Encik Basri meninggal di pekan malam tadi kira-kira jam satu pagi.” Penerangan Awie sedikit sebanyak memberi gambaran kepada Tok Mat tentang individu yang telah dijemput Ilahi pada malam Jumaat ini.
Masjid Kampung Rumbia, Jumaat
– 6.30 pagi
Jemaah Masjid Al-Ikhlas Kampung Rumbia baru saja selesai membaca doa selepas solat subuh. Kebiasaanya selepas berselawat dan salam, jemaah akan bersandar di ruang kosong berdekatan dengan pintu masuk. Waktu ini jemaah gemar berbual hal-hal di kampung, soal tanaman di kebun, hal lembu dan juga tentang masyarakat.
“Nasir, anak Basri meninggal malam tadi, dengar cerita mati dalam bilik karaoke.” Bersunguh-sungguh wajah jemaah lelaki yang berkopiah putih melontarkan cerita kematian Nasir kepada tiga empat lelaki yang bersandar dan menjulurkan kaki dalam bentuk ladam kuda.
“Tak sangka ya Nasir berubah macam tu, balik dari United Kingdom terus terikut-ikut budaya Barat sana tu. Mabuk, berpoya-poya, entah apa lagi perangai tak elok yang dia buat di United Kingdom, kita pun tak tahulah.” Rata-rata penduduk kampung kenal akan anak Encik Basri. Budaknya baik dan pandai ketika di sekolah rendah dan menengah.
Serbuk jingga mula bertaburan di halaman masjid Al-Ikhlas. Beberapa biji motor mula meninggalkan pekarangan masjid. Cuma tinggal tiga empat jemaah masih lagi berlunjur di ruang lapang yang bercantum dengan pintu kaca masjid termasuklah Tok Mat yang baru melangkah keluar dari pintu kaca.
“Apa kamu cakap ini? Tak baik berburuk sangka dengan arwah.” Larang Tok Mat ketika mendengar jemaah berempat tadi rancak berbual tentang kematian Nasir.
“Alaaa… Tok Mat, betul la apa yang saya cakap ini. Apa lagi orang buat kalau duduk dalam bilik karaoke jam satu pagi tu selain berseronok sambil togok air kencing syaitan.” Sahut daripada salah seorang jemaah.
“Lagi pun kecoh di laman sosial tentang kematian Nasir. Semua orang bercerita yang Nasir mabuk berebut perempuan.
“Tok Mat saja yang tidak baca cerita ini dekat laman sosial. Ramai orang di pekan dah banyak buat hantaran status di laman sosial.” Kata-kata seorang jemaah yang cuba meyakinkan Tok Mat akan asbab kematian Nasir mula menancap telinga Tok Mat. Pedih juga telinga orang tua itu mendengar gosip liar tersebut. Tok Mat kenal benar Nasir, dari kecil Nasir datang mengaji al-Quran di rumahnya.
Tok Mat hanya menggelengkan kepala. Tanda tidak setuju dengan tomahan itu. Baginya, sebagai manusia, kita tidak boleh berburuk sangka terhadap seseorang. Apatah lagi sewenang-wenangnya menjatuhkan hukuman sesama manusia. Baik buruk seseorang, biarlah Tuhan yang menghakimi, Tuhan yang Maha Adil.
“Tidak baik kita menuduh arwah. Kita tidak tahu apa yang berlaku. Biar pihak polis jalankan siasatan. Jom ikut aku ke kubur,
“Jenazah akan sampai dari hospital sebelum Zuhur. Lagi ramai yang tolong gali, lagi cepat kubur siap.” Ajakan Tok Mat tidak diendahkan oleh jemaah berempat itu seperti angin lalu.
Tanah Perkuburan Al-Ikhlas, Jumaat – 9 Pagi
Tanah tidak terlalu keras untuk dicangkul pagi ini. Hujan lewat petang semalam sedikit sebanyak melembutkan tanah di sekitar Perkuburan Al-Ikhlas. Tok Mat, Ustaz Azman dan Hasan sedang menggali kubur untuk jenazah Nasir. Hanya mereka bertiga hadir menguruskan tanah kubur itu. Sukarelawan yang lain tidak muncul seperti biasa.
“Ustaz Azman, betul ke kalau orang yang mati di tempat karaoke, tanda orang itu jahat? Saya rasa sebab ini orang kampung tidak mahu tolong bantu kita gali kubur abang Nasir,” Soal Hasan anak muda yang baru habis zaman persekolahan. Masih menanti panggilan kemasukan universiti.
“Bukan begitu Hasan, Soal baik atau jahat, kita serahkan kepada Allah yang Maha Adil. Sebagai manusia, kita perlu menyiasat sebarang khabar angin atau cerita yang disampaikan. Jangan terus percaya bulat-bulat. Boleh jadi itu satu fitnah.” Penjelasan Ustaz Azman didengari oleh Hasan sambil tangannya mengaut tanah-tanah yang digali Tok Mat.
“Saya tanya saja ustaz. Dulu saya selalu baca di majalah, kalau orang jahat itu meninggal, ada saja masalah ketika hendak kebumi,” sambut Hasan sambil teringat tentang majalah yang memaparkan gambar kubur dan jenazah di muka depan.
“Takut-takut juga kalaulah terjadi kepada jenazah Nasir. Kubur tidak cukup saiz ke, atau ada ular melingkar di dalam liang ke,” sambung Hasan.
“Hasan apa yang kau merepek ini?” Kau pun hendak jadi macam orang kampung yang lain? Sudah-sudahlah, ini kerja fardu kifayah.
“Ini tugas kita yang masih hidup. Kita patut berdoa semoga urusan pengkebumian ini berjalan lancar. Soal lain, serahkan pada Allah.” Kali ini kata-katar keluar dari mulut Tok Mat kedengaran tegas.
Semua orang tahu, sepanjang beliau menguruskan jenazah, Tok Mat akan berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan urusan penghantaran jenazah ke alam barzakh seperti mana yang disyariatkan dalam ajaran agama.
Pekan Cheng, Jumaat
– 12.30 Tengah Malam
Nasir melangkah masuk ke lobi pusat karaoke dengan cahaya dari mentol lampu seperti malu-malu. Samar. Bau wangian bercampur hapak mula mencolok ke hidung pemuda itu. Di kaunter, terdapat seorang wanita dalam lingkungan 30-an dengan wajah bertempek bedak dan gincu yang agak tebal tepat memandang ke arah Nasir.
“Mahu bilik? Pakej mana satu?” Soal wanita yang memakai anting-anting besar di telinga.
“Maaf, saya bukan nak berkaraoke, saya cari kawan saya,” jawab Nasir sopan. Sememangnya pemuda yang baru pulang dari bekerja di United Kingdom atau lebih tepat setelah dua tahun menghabiskan pengajian di Universiti Newcastle ini mempunyai tutur kata teratur dan sopan.
“Lelaki, tinggi, putih-putih, ada jambang.” Nasir cuba memberi bayangan tubuh kawannya yang mungkin sedang menyanyi di dalam salah sebuah bilik karaoke itu.
Wanita berwajah bujur sireh tu terkejut selepas mendengar jawab balas daripada Nasir.
“Maaf, saya tak kenal kawan awak.” Ringkas jawapan daripada mulut wanita itu.
“Kamu carilah, pengunjung pun sudah tidak ramai. Hanya dua bilik saja masih ada cahaya lampu”. Panduan itu memberi langkah seterusnya kepada Nasir mencari kawannya.
Langkahnya disusun perlahan. Matanya hinggap ke pintu di sebelah hujung bangunan. Ada bunyi muzik meliar keluar dari ruang dari bawah pintu. Nasir menolak daun pintu yang tidak berkunci.
Luas bukaan pintu itu memperlihatkan ada dua sosok berlainan jantina sedang asyik menyanyi dan berpelukan. Ada botol-botol minuman keras terdampar di atas meja yang diselimuti baldu merah hati.
“Arief, baik kau behenti sekarang, ikut aku balik.” Jeritan Nasir membisukan suara pasangan itu.
Wanita yang berpakaian seksi terkebil-kebil tidak ketahuan lalu meninggalkan bilik yang sudah ternganga pintunya. Kini hanya dua pemuda saling bertentangan di dalam bilik berbau minuman keras. Bagi Nasir, bau ini meloyakan.
“Apa kau nak ni… bodoh!” Soalan pertama keluar dari mulut Arief dengan mata yang merah dan badan yang terhuyung hayang. Tubuh sasa itu sudah tidak mampu dikawal. Mungkin berbelas botol minuman keras telah ditogok pemuda berwajah tampan itu.
“Bro, kau bertaubatlah. Sampai bila kau hendak jadi macam ini? Tiap-tiap malam mabuk, berfoya-foya dekat sini. Isteri kau sarat mengandung, kau boleh biarkan dia sakit dekat rumah, memang tak ada hati perut punya suami.” Butir-butir perkataan keluar dari mulut Nasir seperti peluru. Dia sudah tidak tahan lagi dengan perangai kawan karibnya ketika bersekolah menengah dahulu.
Wajah Arief kemerahan. Mungkin akibat berbelas botol minuman keras ditogoknya dari jam 10 malam sehingga kini. Ditambah pula dengan kata-kata dari Nasir yang tajam bagai menghiris egonya.
“Kau jangan sibuk hal aku la. Aku tahu hendak uruskan perempuan sundal tu dekat rumah,” jawab Arief dengan nada marah. Nyata percakapannya tidak lagi waras.
“Woi…Husna tu adik sepupu aku. Kalau aku tahu perangai kau berubah macam ni, memang aku tak jodohkan kau berdua.
“Dasar tak sedar diri, baru senang sedikit dah lupa agama, lupa adat resam orang Melayu.” Nasir masih berdiri di hadapan sofa kelabu yang menadah punggung Arief.
Arief sudah hilang kewarasan. Matanya tajam memandang sebotol minuman keras yang masih berbaki di atas meja kecil tidak jauh darinya. Pantas tangan yang berbulu itu mencapai botol minum keras dan menghayunkan ke bahagian kepala Nasir. Berdentum juga di dalam bilik yang kedap bunyi itu. Dengan botol yang sudah berkecai, Arief mendekati tubuh Nasir. Satu tusukan tepat ke sebelah kiri perut pemuda dari kampung Rumbia itu.
Nasir terduduk di bucu bilik karaoke sambil tangannya memegang perut yang berlumuran darah. Bau darah dan arak bergumpalan di dalam bilik itu menambahkan rasa loya di tekaknya.
Serpihan botol kaca masih tertusuk di sebelah kiri perut Nasir. Arief tidak tentu arah lalu menghilangkan diri. Tinggallah Nasir nyawa-nyawa ikan setelah ditikam Arief sambil mulutnya kumat kamit menyebut nama Allah.
Tanah Perkuburan Al-Ikhlas, Selepas Asar
Selesai sudah upacara pengebumian jenazah Nasir walau jangkaan awal jenazah tiba sebelum Zuhur. Namun atas urusan pihak berkuasa, jenazah Nasir tiba sebelum solat Asar. Tidak ramai orang kampung hadir memberi penghormatan terakhir buat Nasir. Hanya keluarga terdekat dan tukang gali kubur dan imam masjid.
“Tok Mat, wangi sungguh bau jenazah dan liang lahad abang Nasir. Wajahnya kelihatan tersenyum.” Hasan kehairanan.
Hasan teringat status di laman sosial pagi tadi berkenaan kematian Nasir.
Budak muda mati kena tikam. Mabuk dalam bilik karaoke. – aboy simpat ampat.
Ada orang mati kena tikam dalam bilik sebab mabuk-mabuk wei – mommy anis
Tu dia, tergolek mampus sebab amoi ke? Neraka lah tu… Hahaha – naz sempoi. – UTUSAN










