Bagi pencinta masakan, nama rancangan masakan terkenal di YouTube, Limau Nipis pastinya tidak asing lagi.
Setiap video yang dikongsikan menyajikan resepi menarik sehingga menggoda selera.
Pasti ada yang tertanya-tanya siapakah individu di sebalik video-video masakan itu.
Beliau ialah Nur Hidayatul Asmaa’ Sazli, 34.
Walaupun bukan berlatar belakang cef profesional, tetapi keazaman dan minat dalam dunia masakah menjadikan wanita ini antara pencipta kandungan masakan yang popular di Malaysia.
Menceritakan penglibatannya, beliau mengakui gemar menonton rancangan masakan termasuk yang berdurasi seminit di YouTube.
Nur Hidayatul Asmaa’ kagum melihat cara hidangan menu-menu itu walaupun hanya diedit ringkas, namun mampu menambat hati ribuan penonton.
Lantas, menguatkan lagi hatinya untuk menjadi pencipta kandungan bagi berkongsi resepi air tangan dirinya kepada orang ramai.
Sebelum ini, beliau yang bekerja sebagai jurutera petroleum selama tiga tahun, mengambil keputusan untuk terus berhenti kerja.
Katanya, kerjaya itu berbeza dengan sektor kejuruteraan lain, kerana hasil pendapatan yang tidak stabil.
Susulan itu, beliau berniat untuk membuka akaun di YouTube bagi merealisasikan tujuan utamanya, iaitu menjadikan ia sebagai platform media sosial untuk memperkenalkan produk yang diasaskan oleh beliau, selain daripada memperkenalkan resepi masakan.
Ketika kali pertama, ingin membuat akaun YouTube Limau Nipis yang terkini, beliau bersama suaminya, Ahmad Muzakkir Mohamad, 36, mula memikirkan nama-nama dan perkataan ringkas namun bersesuaian.
Kata Nur Hidayatul Asmaa’, pada mulanya, suami beliau hanya bergurau dengan mencadangkan pemilihan nama untuk akaun YouTube berdasarkan bahan-bahan asas yang sering digunakan dalam masakan harian.
“Apa yang disebutnya perkataan bawang, halia, cili api, serai dan sebagainya namun seperti tidak bertepatan, sehinggalah secara spontan menyebut perkataan limau nipis, akhirnya kami berdua bersetuju.
“Pemilihan nama Limau Nipis, bukan sahaja simbolik kepada rasa segar dan asli dalam masakan, tetapi juga mudah diingati,” katanya kepada Seri.

Mula dikenali masyarakat Malaysia
Jenama Limau Nipis di media sosial mula diasaskan pada 2016, bermula sebagai video blog resepi masakan di YouTube.
Pada mulanya, Nur Hidayatul Asmaa’ cuma memuat naik video masakan berdurasi seminit sahaja.
Dengan sokongan suami yang menjadi tulang belakang, membantu menghasilkan video masakan Limau Nipis.
Walaupun di peringkat awal jumlah penonton sedikit, tetapi tidak melemahkan semangatnya untuk memuat naik banyak video.
“Perkongsian video masakan bukan sekadar hobi, tetapi sebagai kerjaya baru saya,” katanya.
Tahun 2020, YouTube Limau Nipis mula dikenali ramai dan meraih peningkatan pengikut terutama dari Malaysia.
Ia berikutan pandemik Covid-19 yang menyebabkan ramai orang meluangkan lebih banyak masa di media sosial.
Susulan itu, video masakan Limau Nipis turut menjadi tarikan ramai untuk ditonton berkali-kali. Terkini jumlah pengikutnya di YouTube ialah sebanyak 739,000 orang.
Antara, video masakan yang mencatatkan tontonan tertinggi ialah kek batik indulgence dan aiskrim Malaysia pelbagai.
Katanya, jumlah tontonan dan pengikut yang banyak melebihi 10,000 telah membantu dirinya memperoleh pendapatan melalui rancangannya di YouTube.
Justeru, mendorong Nur Hidayatul Asmaa’ meluaskan lagi video masakannya ke platform media sosial lain seperti Facebook dan Instagram bagi mencapai lebih ramai tontonan.
“Selain itu, saya juga tidak melepaskan peluang menyertai platform TikTok bagi memperkenalkan video-video Limau Nipis,” katanya.
Nur Hidayatul Asmaa’ yakin perkongsian video di TikTok, lebih mudah untuk mendapat sambutan yang menggalakkan.
“Saya melihat potensi besar dalam penggunaan aplikasi TikTok, yang pada ketika ini menjadi salah satu media sosial paling popular di dunia.
“Dengan ciri-ciri unik seperti video pendek yang interaktif dan algoritma yang mampu membantu kandungan menjadi tular dengan mudah,” ujarnya.
Keupayaan TikTok dalam menjangkau penonton yang luas turut membantu meningkatkan populariti jenama Limau Nipis, sekali gus menjadikannya lebih dikenali di kalangan peminat masakan tempatan dan antarabangsa.
Kini, Limau Nipis bukan sekadar sebuah saluran YouTube, tetapi telah menjadi satu jenama yang dikenali dalam industri masakan digital.
Kini, jenama tersebut berjaya membentuk pasukan juruvideo dan editor sendiri serta mempunyai studio khas, Limau Nipis.
Selain itu, beliau juga telah menjalinkan kerjasama dengan pelbagai jenama terkenal seperti Nestle, Maggi, Adabi, dan Tokit untuk ulasan produk serta kempen pemasaran.
Dengan dedikasi dan kreativiti yang berterusan, Nur Hidayatul Asmaa’ dan kumpulannya akan terus berkembang dan menjadi sumber inspirasi bagi ramai pencinta masakan.
“Sebagai pencipta kandungan masakan, juga mempunyai cabaran dalam berkongsi ilmu. Oleh itu, saya selalu tekankan kelainan cara masakan atau jenis hidangan yang akan diperkenalkan kepada penonton.
“Malah respons positif daripada penonton memberikan saya semangat untuk terus berusaha menghasilkan lebih banyak kandungan berkualiti,” katanya.

Tiga video setiap minggu
Sempena Ramadan kali ini, Nur Hidayatul Asmaa’ berkata, platform Limau Nipis akan menyajikan menu-menu baharu dan menarik buat penonton.
Ia sekali gus dapat memberi panduan kepada wanita dan surirumah yang buntu atau kering idea mahu memasak apa sebagai menu berbuka mahupun sahur.
Katanya, bagi melancarkan urusan itu, sesi rakaman video masakan telah dilakukan lebih awal sebelum bulan Ramadan.
Jika sebelum ini mereka hanya berkongsi satu video resepi dalam seminggu, namun kelainan ditampilkan kali ini.
Sebanyak dua atau tiga video yang bakal dikongsikan setiap minggu kepada penonton.
Ujarnya, kekangan tenaga kerja membataskan mereka untuk menghasilkan satu video setiap hari sepanjang 30 hari Ramadan.
Selain itu, Limau Nipis juga merancang untuk memanfaatkan platform TikTok dan Instagram dengan membuka halaman khas untuk para pengikutnya,
“Melalui halaman ini, kami bercadang untuk mengadakan sesi siaran langsung memasak buat kali pertama.
“Ini sekali gus dapat memberikan peluang kepada pengikut setia untuk berinteraksi secara langsung dengan Limau Nipis,” katanya. – UTUSAN










