TOKYO: Polis Jepun menahan tiga remaja yang didakwa menggunakan chatbot kecerdasan buatan (AI), ChatGPT, untuk membuat kontrak telefon mudah alih palsu dan mengakses rangkaian secara haram.
Media tempatan melaporkan, tiga remaja berusia 14, 15, dan 16 tahun itu didakwa membangunkan program menggunakan ChatGPT untuk menghasilkan kontrak palsu dan menggodam rangkaian telefon, Rakuten Mobile.
Suspek juga dikatakan membeli maklumat kad kredit, ID dan kata laluan orang ramai secara haram di internet yang kemudiannya digunakan dalan program AI untuk mencipta kontrak palsu, menurut laporan itu.
Jurucakap polis memberitahu AFP, dua daripada remaja tersebut ditahan pada 25 Februari atas tuduhan melanggar Akta Larangan Akses Tanpa Kebenaran dan penipuan komputer.
Mereka didakwa menjual sekurang-kurangnya 2,500 kontrak haram bernilai sekitar 7.5 juta yen (RM224,481) dalam bentuk mata wang kripto, lapor Kyodo News yang memetik sumber polis yang tidak dikenali.
Mereka juga didakwa membeli lebih 3.3 bilion ID dan kata laluan daripada individu yang ditemui di platform pesanan yang disulitkan di Telegram, kata Yomiuri dan media lain yang memetik sumber penyiasatan tanpa nama.
Syarikat e-dagang gergasi, Rakuten, iaitu syarikat induk Rakuten Mobile, mengeluarkan amaran kepada pelanggan berwaspada terhadap kontrak yang tidak diketahui.
Syarikat itu juga mengesahkan kontrak telefon mudah alih palsu yang menggunakan ID dan kata laluan diperoleh secara haram.
“Kami telah bekerjasama sepenuhnya dalam siasatan polis mengenai isu ini dan telah menggantung penggunaan kontrak telefon haram serta melaksanakan tetapan semula kata laluan,” menurut kenyataan itu.
Rakuten yang memiliki perkhidmatan mesej popular, Viber telah memohon maaf terhadap isu tersebut dan memaklumkan tiada kebocoran data yang dikesan dari dalam syarikat.– AFP









