Peluang terakhir lihat tujuh planet ‘berbaris’

Peluang terakhir lihat tujuh planet ‘berbaris’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Peminat astronomi bakal disajikan dengan pemandangan luar biasa minggu ini apabila tujuh planet iaitu Marikh, Musytari, Uranus, Zuhrah, Neptun, Utarid, dan Zuhal dapat dilihat secara serentak di langit pada waktu senja.

Fenomena yang dikenali sebagai ‘perarakan planet’ ini jarang berlaku dan tidak akan berulang dalam keadaan yang begitu jelas sehingga tahun 2040.

Menurut Pakar Astronomi di Royal Observatory Greenwich, Dr. Edward Bloomer, waktu terbaik untuk menyaksikan fenomena ini adalah sebaik sahaja matahari terbenam bermula Selasa hingga Jumaat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini adalah peluang yang jarang berlaku untuk melihat tujuh planet berada di kedudukan yang mudah untuk diperhatikan,” katanya kepada BBC.

Jelasnya, empat planet iaitu Utarid, Zuhrah, Musytari dan Marikh boleh dilihat dengan mata kasar.

Bagaimanapun, Zuhal akan lebih sukar dikesan kerana berada rendah di ufuk manakala Uranus dan Neptun memerlukan teleskop untuk diperhatikan dengan jelas.

“Anda hanya mempunyai beberapa minit selepas matahari terbenam untuk mengesan kedua-dua planet ini sebelum mereka hilang di bawah ufuk. Selepas itu, Zuhrah, Musytari, dan Marikh masih boleh dilihat lebih lama,” kata Bloomer.

Zuhrah dan Musytari dijangka menjadi planet paling mudah dilihat kerana kecerahannya, manakala Marikh akan menyerlah dengan warna kemerahan.

“Secara teknikal, Uranus boleh dilihat dengan mata kasar, tetapi anda memerlukan penglihatan sempurna dan keadaan yang sangat ideal,” katanya lagi.

Bagi meningkatkan peluang menyaksikan semua planet ini, beliau menyarankan orang ramai mencari lokasi yang mempunyai pemandangan ufuk yang jelas dan jauh daripada pencemaran cahaya.

“Elakkan melihat skrin telefon bimbit kerana ia akan mengganggu penyesuaian mata anda. Ambil masa kira-kira 30 minit untuk membiasakan diri dengan tahap kegelapan sebelum mula memerhati langit,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN