KPM-PBT banteras gerai 'jajan' depan sekolah

KPM-PBT banteras gerai ‘jajan’ depan sekolah

AZMAN Adnan (kanan) beramah mesra dengan para pelajar pada Majlis Peluncuran Sekolah Digital di SK Seri Telok di Parit Yaani, Batu Pahat semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengekang penjualan makanan ringan di depan kawasan sekolah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Kerjasama itu bagi memastikan golongan pelajar, terutamanya murid sekolah rendah tidak terdedah dengan makanan tidak berkhasiat yang boleh menjejaskan kesihatan.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, tindakan itu perlu kerana KPM hanya bertanggungjawab terhadap jualan makanan di kantin sekolah.

Katanya, KPM tidak membenarkan aktiviti penjualan dilakukan dalam radius 40 meter dari kawasan sekolah.

Beliau berkata, perkara itu sudah pun dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) selain Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan garis panduan bagi mengatasi masalah penjualan makanan ringan di kawasan sekolah.

“KPM hanya bo­leh menguatkuasakan larangan penjualan 40 meter dari pintu utama dan keseluruhan pagar se­kolah.

“Jika ada jualan di luar kawasan dari jarak itu, ia terletak di ba­wah tanggungjawab PBT,” katanya selepas Majlis Peluncuran Sekolah Digital di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Telok di Parit Yaani, di sini semalam.

Baru-baru ini, seorang murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Sungai Dua, Butterworth, Mohammad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, meninggal dunia selepas tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata yang dibelinya sebelum sesi persekolahan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Kanak-kanak itu pada mulanya mengalami sesak nafas akibat tercekik gula-gula berkenaan sebelum dikejarkan ke hospital dan berada dalam keadaan kritikal sebelum meninggal dunia.

Azman Adnan berkata, pengurusan sekolah juga sering mengingatkan para pelajar supaya membeli makanan yang dijual di kantin sekolah kerana ia adalah makanan dibenarkan untuk dijual kepada mereka

“Dari sudut kesihatan, pihak kami komited melakukan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan supaya pengawasan sewajarnya dapat dilakukan,” katanya.

Insiden yang menimpa Mohammad Fahmi Hafiz mendapat perhatian banyak pihak menyaksikan pasukan penyiasat Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menyita produk ‘gummy’ yang dijual di sebuah premis di Jalan Sungai Dua, Butterworth, pada minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, pemeriksaan ke atas gerai-gerai di kawasan sekitar Sungai Dua juga telah dijalankan.

KKM turut mengambil langkah drastik mengarahkan platform jualan secara dalam talian untuk menghentikan penjualan gula-gula kenyal berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kementerian bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi menghentikan penjualan gula-gula itu dalam platform dalam talian.

“Kita sudah mengarahkan platform Shopee dan TikTok untuk menurunkan iklan yang menjual gula-gula kenyal itu.

“Kita juga mengarahkan PKD (Pejabat Kesihatan Daerah) seluruh negara untuk melakukan penguatkuasaan di premis fizikal dan merampas produk yang masih dijual,” katanya.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pengguna turut menyuarakan pandangan meminta pihak berkuasa membanteras penjualan makanan ringan yang berisiko menyebabkan kanak-kanak tercekik.
Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subbarow berkata, pihak berkuasa perlu menghentikan sikap lepas tangan dalam menangani isu makanan ringan yang membahayakan kesihatan kanak-kanak.

“Kanak-kanak tidak tahu mengenai kualiti dan kandungan makanan yang mereka beli. Mereka tertarik dengan warna dan rasa manis sahaja. Oleh itu, perlu ada undang-undang ketat terhadap makanan yang dijual kepada kanak-kanak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×